KUALA LUMPUR - Menteri Kerja Raya Baru Bian mahu siasatan rapi dilakukan  segera sekiranya laporan terhadap setiausaha politiknya berhubung dakwaan salah guna kuasa, berasas.

Beliau berkata tindakan itu perlu kerana ia membabitkan nama baik kementerian berkenaan.

"Bagi saya kalau benar seperti yang dilaporkan, saya sama sekali tidak akan bertolak ansur. Tindakan undang-undang mesti diambil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan Ahmad Syukri Che Ab Razab hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa seorang setiausaha politik di sebuah kementerian.

Ahmad Syukri mendakwa individu terbabit menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan RM300,000 dalam satu mesyuarat dengan pemimpin tempatan pada 1 Sept lalu di mana individu berkenaan bertanding untuk jawatan ketua cabang serta merebut jawatan dalam kepimpinan pusat.

Baru berkata beliau baharu sahaja pulang dari lawatan rasmi di luar negara apabila dikejutkan dengan laporan Ahmad Syukri itu.

Sebelum ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujud individu berkuasa menawarkan kontrak bagi mendapat sokongan dalam pemilihan parti itu.

Anwar menegaskan beliau sama sekali tidak berkompromi dengan pemimpin yang menggunakan taktik kotor untuk menang jawatan. – Bernama