SHAH ALAM - Semua pihak perlu berganding bahu mengatasi masalah buli yang berlaku, khususnya dalam kalangan generasi muda hari ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, hanya dengan kerjasama semua pihak, masalah buli yang dilihat menjadi budaya dapat diatasi.

“Adalah penting untuk semua pihak seperti ibu bapa, guru, kerajaan, pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat keseluruhannya  berganding bahu menyelesaikan masalah ini.

“Beban dan tanggungjawab mengatasi masalah ini tidak harus dipikul oleh guru atau sekolah 100 peratus, seperti ditegaskan oleh sesetengah pihak baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, banyak punca penyebab buli di sekolah atau di pusat pengajian tinggi termasuk pelaku yang mempunyai tekanan dari sudut mental serta fizikal.

“Terdapat faktor lain seperti pengaruh buruk rakan sebaya yang juga kaki buli atau pengaruh negatif dari luar terutama pengaruh daripada filem ganas atau pengaruh negatif daripada medium internet.

“Banyak kajian dijalankan mengenai perkara ini, di mana jika seseorang itu dibesarkan dalam suasana keluarga tidak aman, sering bergaduh dan mengeluarkan kata-kata kesat, ia akan memberi impak terhadap proses pembesaran anak,” katanya.

Menurutnya, keadaan sekolah atau universiti yang tidak kondusif serta tidak mempunyai keupayaan mengatasi kejadian buli daripada berlaku menjadi faktor ia kekal berlaku.

“Kurangnya komunikasi antara sekolah dan universiti dengan ibu bapa atau penjaga juga boleh menyebabkan usaha mengatasi masalah buli terbantut,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Lambakan filem dan drama yang mengandungi adengan ganas dikenalpasti sebagai satu daripada faktor yang membawa kepada peningkatan gejala buli di kalangan pelajar sekolah.
  • KUALA NERANG - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mahu pejabat pelajaran daerah dan pengurusan sekolah lebih proaktif dalam menangani masalah buli bagi memastikan isu itu tidak terus melarat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.