KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa segera menangani masalah judi tanpa lesen yang berleluasa di negara ini.

Nik Abduh Nik Aziz (Pas-Bachok) menyarankan kerajaan mencontohi polisi kerajaan Kelantan yang tidak mengeluarkan sebarang lesen judi bagi mengawal wujudnya premis-premis judi di negeri ini.

Bagi, Datuk Johari Abdul (PH-Sg Petani) pula, beliau berkata tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan dilabel sebagai bersubahat.

"SB (Cawangan Khas) boleh cari ahli Parlimen PH, mesti boleh kenal pasti mesin judi haram.

"Menteri KDN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) ambillah tindakan segera. Lambat-lambat kita akan dianggap bersubahat,"katanya ketika sesi perbahasan titah Yang Dipertuan Agong.

Dalam pada itu, Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mendakwa pusat-pusat judi juga menjadi tumpuan pelajar-pelajar sekolah.

"Pelajar sekolah pun ramai. Pelajar sekolah pun tahu tak kan polis tak tahu.

"Ini menunjukkan kita tak ada 'political will',"katanya ketika mencelah.

Sementara itu, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Pas-Kuala Nerus) menyarankan penggunaan istilah judi berlesen dan tidak berlesen bukan judi haram.

"Apabila guna istilah judi haram ini semacam ada judi yang halal.

"Sedangkan judi itu tetap haram terutama buat umat Islam,"katanya.