KUALA LUMPUR - Majlis Permuafakatan NGO Felda menyatakan bantahan perlantikan Datuk Khor Chin Poey sebagai Pengerusi Felda Technoplant (FTP) menggantikan Datuk Zulkifli Abdul Wahab.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, daripada sudut kemampuan, terdapat calon lain yang lebih berpengalaman dan dilihat lebih bersedia membantu Felda buat masa ini.

“Apakah alasan perlantikan beliau sedangkan begitu ramai bekas pegawai kanan peladangan Felda yang boleh dilantik menggalas jawatan tersebut.

“Kalau nak berkata mengenai kepakaran dalam bidang perladangan, saya dimaklumkan kali terakhir beliau (Chin Poey) berkhidmat di Felda adalah pada 1971, itu cerita lama,” katanya pada sidang media, hari ini.

Turut hadir sama pada sidang media adalah Bekas Pengarah Eksekutif Felda Plantations Sdn Bhd Mohd Said Jonit, Presiden Pertubuhan Kami Anak Felda Malaysia, Fakhrorrozi Mohd Habib dan Penasihat Pertubuhan Suara Generasi Kedua Felda (SGK2F), Datuk Zulkifli Nordin.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, bantahan terhadap pelantikan tersebut tidak mempunyai unsur sentimen namun tidak dinafikan ia mengundang kontroversi di kalangan masyarakat Felda.

“Senario yang berlaku di Felda sebelum ini, apabila berlaku isu dalam FTP ia tidak pernah mencetuskan isu perkauman kerana pengerusinya ketika itu orang Melayu.

“Tetapi dalam situasi sekarang, belum pun pengerusi baharu FTP ini turun padang, kita boleh lihat dalam media sosial, isu perkauman itu dimainkan. Sepatutnya perkara seperti ini, perlu diambil perhatian yang lebih sensitif,” katanya.

Katanya, keadaan lebih keruh dijangka akan berlaku sekiranya Chin Poey gagal memainkan peranan lebih baik berbanding pengerusi yang terdahulu.

“Sebab itu saya hairan kenapa hal seperti ini tidak dipandang serius oleh pengurusan tertinggi Felda.

“Walaupun kami telah membuat pertanyaan dan bantahan secara dalaman, nampaknya mereka cuba mengetepikan peranan kami,” katanya.

Justeru, beliau mendesak campur tangan kerajaan dalam menyelesaikan perkara tersebut sebelum keadaan menjadi lebih parah.

“Kalau segala usaha ini tidak berjaya maka kita akan mohon untuk bertemu perdana menteri dalam masa terdekat.

“Kita juga ada beberapa cadangan kepada perdana menteri yang saya fikir ia akan memberikan implikasi yang besar kepada Felda itu sendiri,” katanya.