SHAH ALAM – Pembentangan Bajet 2018 dilihat ada persamaan dengan Bajet Alternatif Malaysia 2018 yang dibentangkan Rabu lalu.

Dengan pelbagai intipati yang ‘hampir sama’,  dapat dilihat kedua-duanya meletakkan misi dan visi mereka untuk mensejahterakan rakyat.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, antara persamaan paling ketara antara kerajaan dan pembangkang adalah meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Dalam bajet kedua-duanya mahu ia diteruskan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada mengatakan pembangkan juga mahu BR1M diteruskan.

“Intipati-intipati popular lain yang hampir sama antara adalah seperti pemansuhan tol, memberi cuti bersalin, pembangunan di Sabhah dan Sarawak dan juga bantuan untuk PTPTN,” katanya kepada Sinar Online.

Katanya, biarpun seperti sama, namun, di sebalik persamaan itu, sebenarnya ada banyak yang tidak serupa. Bajet pembangkan dilihat tidak begitu jelas.

“Biarpun ada persamaan daripada sudut intipati, tetapi bajet pembangkang tidak diterangkan dengan lebih terperinci. Mereka tidak spesifik dan tiada fokus kepada golongan sasar, contohnya golongan pertengahan.

“Inilah perbezaan antara pembangkang dan kerajaan yang  memberikan gambaran jelas apa yang ingin dibuat dan dicapai,” katanya.

Beliau berkata, pembangkang meletakkan sejumlah  dana untuk pembangunan buat penduduk Sabah dan Sarawak namun tidak dinyatakan secara terperinci apakah bentuk pembangunan yang akan dibuat.

“Sesiapa sahaja boleh cakap, tiada untuk merealissasikan itu bukan satu perkara mudah.

“Bajet BN lebih inklusif dengan memberi perincian terhadap kesemua bantuan dan dana yang akan disalurkan iaitu dari bayi hingga warga emas, dari sekolah hingga institut pendidikan tinggi,” katanya.

Jelasnya, inilah perbezaan ketara antara kedua-duanya yang membuatkan rakyat menilai kekuatan kedua-dua parti.

“Apa yang menarik minat saya apalah perdana menteri tidak lagi ‘melupakan’ golongan M40 di mana pelbagai insentif diberikan.

“Sudah bertahun-tahun golongan M40 seolah-olah dipinggirkan dan mungkin kerana itu ramai daripada mereka yang melawan kerajaan,” katanya.

Tambahnya, dengan apa yang ditawarkan kepada M40 ini, golongan ini akan lebih berdaya saing.

“Bajet ini juga adalah bajet terbaik dan bersifat menyeluruh. Banyak berita gembira yang dibawa oleh kerajaan.

“Walaupun ia bajet defisit, tetapi mungkin dengan faktor kewangan negara yang kukuh dan rezab antarabangsa juga besar, jadi kerajaan ada sumber kewangan yang lebih untuk tahun 2018,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya adakah ‘berita gembira’ ini adalah sesuatu yang bersifat politik di mana strategi kerajaan sebagai gula-gula pilihan raya, Mohd Azizuddin tidak menafikan perkara itu.

“Tak kisahlah gula-gula atau apa, kerana yang penting rakyat mendapat manfaat daripada bajet ini. Najib sendiri tidak menafikan perkara itu, jadi tidak perlu dipertikaikan lagi.

Terdahulu, Najib yang juga Menteri Kewangan  membentangkan Bajet 2018 di Parlimen dengan mengetengahkan lapan tunjang utama antaranya merancak pelaburan perdagangan dan industri, mengutamakan kesejahteraan rakyat dan peluang menjana pendapatan dan meningkatkan kecekapan dan penyampaian GLC dan perkhidmatan awam.

Bajet tahun ini juga bertemakan 'memakmur ekonomi yang inklusif, mengimbangi keunggulan duniawi dan ukhrawi demi mensejahtera kehidupan rakyat, menuju aspirasi TN50'.