SHAH ALAM - Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) mengucapkan penghargaan di atas kesudian kerajaan menerusi Bajet 2018 meringankan beban nelayan tempatan.

Pengerusi Nekmat, Ahmad Rudin Hussain berkata, bantuan tersebut dapat meringankan beban kos sara hidup kelompok nelayan di negara ini.

"Kami menyampaikan ucapan Terima Kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan di atas peruntukan bajet 2018 sebanyak RM6.5 billion kepada golongan Peladang, Penternak dan Nelayan.

"Nekmat akan bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan terus menjalankan program jualan ikan pada harga patut di kawasan strategik supaya rakyat dapat menikmati sumber makanan laut tersebut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, Nekmat dan LKIM yang berperanan sebagai agensi kerajaan akan menjayakan hasrat kerajaan menerusi pembekal utama ikan segar dan Q-Fish bagi memastikan pengguna boleh mendapatkan ikan segar dan beku seperti kembung, selar, pelaling, selayang,cencaru, tilapia, keli dan aya (tongkol) dengan harga yang berpatutan, berkualiti dan berkhasiat sama seperti ikan segar.

"Umum mengetahui Q-Fish merupakan penjenamaan semula bagi Program Ikan Rakyat LKIM yang telah diperkenalkan bermula tahun 2014. Program ini diadakan untuk membantu menstabilkan harga ikan dan sebagai pilihan dalam mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup pengguna.

"Peruntukkan sebanyak RM50 juta di dalam bajet 2018 kepada LKIM dan FAMA akan digunakan secara terancang bagi merencanakan program jualan barangan makana seperti ikan pada harga berpatutan," katanya lagi.