KUALA LUMPUR - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah meminta kepada kerajaan untuk mengurangkan cukai sebanyak sifar hingga lima peratus bagi jentera pembinaan khususnya membabitkan projek Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam bajet 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berkata cukai itu pada masa sekarang berubah-rubah dan boleh mencecah sehingga 20 peratus.

"Langkah ini akan menggalakkan penggunaan jentera pembinaan daripada menjadi terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing," katanya ketika ditanya mengenai senarai permintaan CIDB pada Bajet 2018 semasa taklimat media mengenai Transformasi Jabatan Kerja Raya (JKR) Melalui Projek-projek Awam di sini hari ini.

Sekarang ini, cukai yang dikenakan ke atas jentera tertentu adalah sangat tinggi berbanding dengan negara-negara Asean lain.

Cukai perlu dikurangkan bagi membolehkan lebih banyak syarikat, khususnya firma-firma kecil untuk membeli jentera baharu jika kerajaan mahu menggalakkan penggunaan jentera dan automasi dalam pendekatan pembinaan IBS.

"Sekarang ini, banyak syarikat lebih suka membeli mesin-mesin terpakai kerana ia lebih murah, tetapi kecekapan dan produktivitinya lebih rendah berbanding dengan yang baharu," katanya.

Ahmad Asri juga menggesa kerajaan untuk menyediakan pembiayaan sebanyak kira-kira RM500,000 bagi pembekal IBS bagi membolehkan lebih banyak firma-firma kecil mengambil bahagian dalam industri ini.

Katanya, kos penubuhan sebuah kilang IBS dan perolehan acuan adalah sangat mahal dan ini menyebabkan industri itu didominasikan oleh syarikat-syarikat besar.

"Dengan skim tersebut, lebih banyak firma-firma kecil dapat membina kilang-kilang untuk menghasilkan komponen-komponen tertentu dan mereka memerlukan pembiayaan daripada kerajaan," katanya.

Pada majlis hari ini, Ketua Pengarah JKR Datuk Seri Dr Roslan Md Taha menyatakan keyakinan bahawa 15 projek IBS dalam tahun ini akan mengatasi 15 projek dengan nilai RM638 juta yang dicatatkan pada tahun lepas.

"Sebanyak 11 projek IBS dengan nilai RM360 juta telah siap pada Jun tahun ini. Dengan hanya baki tiga bulan lagi, kami yakin kami mampu mengatasi angka tahun lepas," katanya.

Roslan berkata, JKR adalah komited kepada konsep 'Gerbang Nilai' bagi projek-projek di bawah penyeliaannya bagi menjamin tahap tertinggi dalam kualiti pembinaan untuk rakyat.

Konsep 'Gerbang Nilai' adalah satu proses kajian pembinaan yang akan meningkatkan kualiti pembinaan serta tahap produktiviti.

Roslan berkata, tiga projek yang bernilai RM37.68 juta telah siap di bawah konsep itu sejak ia diterima pakai pada 2011.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Penggiat industri pembinaan, Ahmad Zaki Resources Berhad semalam berjaya merangkul kemenangan besar apabila meraih tiga anugerah pada Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2017, menerusi malam berprestij anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia.
  • SHAH ALAM - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengingatkan pemilik rumah agar menggunakan khidmat kontraktor yang sah berdaftar dengan CIDB untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian rumah.
  • SHAH ALAM - Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berkuat kuasa hari ini.
  • SHAH ALAM - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menggesa syarikat kontraktor tempatan supaya meningkatkan kepakaran untuk berdepan impak Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.