KUALA LUMPUR - Pembentangan Bajet 2018 membuktikan kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) untuk kesejahteraan dan masa depan yang lebih baik bagi komuniti India di negara ini.   

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, langkah-langkah khusus yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan bajet di Dewan Rakyat pada Jumaat, akan mendorong pelaksanaan MIB yang dilancarkan April tahun ini.

“Bajet 2018 menunjukkan komitmen kerajaan menangani permasalahan masyarakat India sama ada dalam pendidikan, pekerjaan atau kekayaan, memudahcarakan pertumbuhan mereka serta mempromosikan fiskal secara bijak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata, ini juga membuktikan MIB  bukanlah retorik politik semata-mata.

Antara lain, Perdana Menteri mengumumkan Bajet 2018 pengagihan khas Permodalan Nasional Berhad sebanyak 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India. Selain itu sebanyak RM50 juta disalurkan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) untuk membantu lebih 35,000 usahawan komuniti itu. - Bernama