ISTANBUL –  Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti bersatu dalam usahanya  untuk menolak sebarang langkah mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel tetapi sebaliknya, Baitulmaqdis akhirnya hendaklah menjadi ibu negara Palestin, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri  berkata Malaysia mengutuk dan menolak sama sekali keputusan satu pihak oleh Amerika Syarikat (AS) untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, dan memindahkan  kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

“ Status muktamad Baitulmaqdis tidak boleh diputuskan melalui pengiktirafan satu pihak kerana ia mesti diselesaikan menerusi rundingan pelbagai hala antara Palestin dan Israel di bawah kerangka penyelesaian dua negara.

“Langkah  seumpama itu menjejaskan semua usaha ke arah mencari penyelesaian yang komprehensiff, adil lagi berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel. Lebih-lebih lagi, masa depan penyelesaian dua negara itu tergantung dalam konteks ia mudah tergugat,” kata Najib ketika berucap pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)  mengenai Al-Quds Al-Sharif (Baitulmaqdis) di sini pada Rabu. - Bernama