JOHOR BAHRU - Bahasa Malaysia tetap menjadi tonggak utama kenegaraan, walaupun bahasa-bahasa lain khususnya bahasa Inggeris dan Mandarin diguna pakai secara meluas berikutan keperluan globalisasi.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Kassim Thukiman berkata sebagai negara yang telah 61 tahun merdeka, agak aneh apabila isu mengenai peranan Bahasa Malaysia masih menjadi persoalan kerana penggunaannya sepatutnya sudah mantap dalam kalangan rakyat negara ini.

Malah, tambah beliau, perspektif sejarah membuktikan bahawa Bahasa Malaysia adalah ‘lingua franca’ yang diterima di peringkat global rentetan daripada penggunaannya yang meluas dalam kegiatan perdagangan dan penyebaran Islam sejak dahulu lagi.

“Oleh itu, jika hendak dikatakan tahap penguasaan Bahasa Malaysia di negara ini tidak bagus, tidak juga, kerana bahasa kita masih digunakan dengan baik di sana sini.

“Antara bukti yang menjadi contoh bahawa penguasaan Bahasa Malaysia masih baik adalah menerusi perbahasan wakil-wakil rakyat bukan Melayu di Parlimen yang menggunakan bahasa kebangsaan pada aras tinggi,” kata beliau ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Bahasa bukan-bukan

Memberikan beberapa contoh termasuk Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming yang fasih berbahasa Malaysia, Kassim berkata, ia sekali gus membidas kritikan orang ramai yang kononnya rakyat bukan Melayu di negara ini gagal bertutur bahasa Malaysia.

Namun, jika ada kalangan masyarakat Melayu yang sukar bertutur Bahasa Malaysia dengan baik, mungkin ada beberapa faktor yang mempengaruhinya, termasuk perasaan rendah diri atau menganggap penggunaan Bahasa Malaysia sebagai merendahkan status sosialnya.

Tetapi, tegas beliau, seiring perkembangan globalisasi, bahasa Inggeris menjadi satu keperluan umpamanya dalam sistem teknologi dan perniagaan.

“Kita tetap memperkasakan Bahasa Malaysia namun tidak boleh menolak kepentingan bahasa lain umpamanya bahasa Inggeris atau Mandarin kerana ia merupakan kreativiti kita dalam hubungan di alam pekerjaan. Tetapi jangan ‘tinggalkan’ Bahasa Malaysia sebagai tonggak kenegaraan.

“Sesetengah orang Melayu suka mencampuradukkan Bahasa Malaysia dan Inggeris, ditambah pula dengan komunikasi menerusi aplikasi WhatsApp, sehinggakan wujud Bahasa Malaysia yang ‘bukan-bukan’,” katanya lalu menambah bahawa terdapat drama Melayu tempatan yang memaparkan watak-watak yang bertutur Bahasa Malaysia pelat - sepatutnya tidak berlaku.

Jadi instrumen perpaduan

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Melayu Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, Dr Maskiah Masrom berkata Bahasa Malaysia disebut sebagai instrumen perpaduan kerana ia adalah milik serantau yang difahami rakyat negara ini, selain fungsinya sebagai bahasa pengajaran bermula di peringkat sekolah rendah sehingga ke universiti.

Maskiah yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah Persuratan Melayu berkata sebenarnya tidak ramai yang sedar bahawa terdapat kalangan pejuang Bahasa Malaysia di negara ini yang terdiri daripada golongan bukan Melayu.

Beliau memberi contoh Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, yang secara berterusan berusaha memartabatkan Bahasa Malaysia.

“Saya lihat pejuang Bahasa Malaysia tidak semestinya orang Melayu. Kalau kalangan bukan Melayu menganggap perjuangan memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai sesuatu yang sangat penting, beerti usaha itu memang berada pada tahap yang tinggi.

“Penggunaan Bahasa Malaysia di negara ini masih baik. Saya tidak nampak bahasa ini terjejas dalam apa bentuk sekali pun. Kuasailah Bahasa Malaysia dengan baik tetapi pada masa sama, tidak lupakan bahasa-bahasa lain kerana ia sama sekali tidak menjejaskan Bahasa Malaysia. Masing-masing mempunyai fungsi dan peranan tersendiri,” kata pemenang lebih 20 sayembara penulisan termasuk Hadiah Sastera Darul Takzim, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Exxon Mobil dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Bukan isu kesetiaan

Maskiah juga senada dengan Kassim bahawa tahap penggunaan Bahasa Malaysia oleh wakil rakyat bukan Melayu ketika berbahas di Parlimen adalah sangat baik.

“Kita melihat fenomena menarik di sini apabila, Anggota Parlimen Sungai Siput S.Kesavan, contohnya, menggunakan Bahasa Malaysia lama dengan baik dan bersopan santun serta lengkap berpantun. Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Anggota Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga berbahasa Malaysia dengan baik,” katanya.

Bahasa Malaysia mudah disampaikan dan dipelajari, sama ada formal atau tidak, sehinggakan dapat dikuasai dengan cepat oleh golongan pekerja warga asing di negara ini.

Bagaimanapun, tambah beliau, adalah tidak wajar untuk menghukum atau mempersoalkan kesetiaan seseorang terhadap negara sekiranya individu itu tidak mampu bertutur Bahasa Malaysia dengan baik.

“Contohnya, warga emas berketurunan Cina berumur 70 tahun yang sejak kecil membesar dalam kelompok kaumnya, tidak bersekolah dan tidak terdedah kepada masyarakat Melayu.

“Pastinya dia tidak akan faham Bahasa Malaysia, itu bukan isu kesetiaan. Kesetiaan boleh diukur daripada pelbagai aspek lain... apa yang penting adalah mereka masih berpegang kepada lima prinsip Rukun Negara,” katanya yang tidak menafikan bahawa ada pihak yang sengaja mempolitikkan Bahasa Malaysia.

Pelajari selok-belok bahasa

Maskiah menasihati masyarakat Melayu supaya mempelajari selok-belok Bahasa Malaysia dengan lebih mendalam dan tidak merasakan bahawa diri sendiri sudah hebat dalam penguasaan Bahasa Malaysia.

“Panglima bahasa Johor, Allahyarham Tun Dr Syed Nasir Ismail pernah menegur orang Melayu yang tidak mahu mempelajari selok-belok keindahan Bahasa Melayu menerusi pantunnya yang berbunyi:

“Ke hutan sama berburu,

orang melapah awak tidak,

orang mendapat,

awak melengit.

Ke sekolah sama berguru,

orang belajar awak tidak,

akhirnya hujan balik ke langit”.

“Maksudnya, kalau orang Melayu merasakan bahawa kerana dilahirkan sebagai Melayu, maka dengan mudah dapat bercakap Bahasa Malaysia, dia tidak boleh anggap bahawa bahasanya itu lebih baik daripada orang bukan Melayu yang belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya menguasai Bahasa Melayu dengan baik,” jelas beliau lalu memberi contoh Na Tien Piet - seorang Cina Peranakan kelahiran Betawi yang menguasai laras Bahasa Melayu dengan baik - merupakan penulis syair riwayat hidup Almarhum Maharaja Abu Bakar pada 1890an.

Minat P.Ramlee

Sementara itu, seorang rakyat Jepun yang bersuamikan rakyat Malaysia dan telah menetap di sini sejak 26 tahun lalu, Mihoko Yui, 51, berpendapat Bahasa Malaysia mempunyai keunikannya tersendiri.

Mihoko atau nama Islamnya, Maisara Abdullah yang fasih berbahasa Malaysia memang gemar menonton filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Beliau mula mempelajari Bahasa Malaysia pada 1991 ketika masih menuntut di sebuah universiti di Tokyo.

“Pada awalnya saya tertarik pada bunyinya yang kedengaran seperti lagu. Contohnya, sebutan ‘tuan-tuan dan puan-puan’, bunyinya macam lagu dan comel,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mihoko yang berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Sekolah Jepun (Johor) di Bandar Seri Alam, di sini mengakui bahawa penguasaan Bahasa Malaysianya semakin baik setelah terpaksa berkomunikasi dengan pembantu rumahnya, seorang rakyat Indonesia.

“Saya jarang membaca surat khabar, buku atau majalah berbahasa Malaysia. Pada peringkat awal, saya hanya menonton filem dan mendengar lagu-lagu P.Ramlee,” katanya yang amat menggemari lagu ‘Engkau Laksana Bulan’ dan ‘Getaran Jiwa’ nyanyian seniman agung itu.

Kagumi Bahasa Malaysia

Mihoko kemudian mendalami Bahasa Malaysia melalui beberapa oarng rakan dan program-program keagamaan yang dihadirinya.

Beliau agak hairan bila mengetahui bahawa terdapat rakyat negara ini yang tidak boleh bertutur Bahasa Malaysia dengan baik, sedangkan ramai warga asing sepertinya mengagumi bahasa itu.

“Saya orang Jepun dan masih merupakan rakyat Jepun, tentulah saya cintakan bahasa saya (bahasa Jepun), tetapi saya tiada masalah bertutur dalam Bahasa Malaysia walaupun kurang yakin.

“Kadang-kadang saya belajar menulis di dalam Bahasa Malaysia daripada anak-anak yang mendapat pendidikan di sekolah kebangsaan di sini dan beberapa rakan Melayu yang berkhidmat di Sekolah Jepun,” katanya. - Bernama