KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, bersetuju dengan tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Mohamaddin Ketapi yang mahu mengubah suai Logo Visit Malaysia 2020.

Beliau yang merupakan bekas menteri berkenaan, berkata Mohamaddin berhak berbuat demikian kerana sebagai peneraju kepada sesuatu kementerian mestilah beliau mempunyai idea baharu yang ingin diketengahkan.

"Baguslah, takpa, tiada masalah. Dia boleh buat apa dia suka, dulu kita tak buat pertandingan sebab 'in house' jadi kita tak bayar apa-apa, jadi  bila nak buat pertandingan saya setuju 100 peratus ," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan baharu Mohamaddin yang mahu mengubah suai Logo Visit Malaysia 2020.

Sebelum ini, logo lama berkenaan yang dilancarkan sempena Asean Tourism yang berlangsung pada awal Januari 2018 di Chiang Mai, Thailand oleh  Mohamed Nazri menerima respons negatif daripada netizen.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Logo Visit Malaysia 2020: Ini jawapan menteri ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Tun M ‘puji’ logo Visit Malaysia ]

Antara keluhan netizen adalah mereka mendakwa logo itu tampak tidak profesional dan sangat biasa.

Logo lama Visit Malaysia 2020 menampilkan gambar Petronas Twin Tower, dua ekor orang utan dan penyu memakai cermin mata hitam.

Kempen Melawat Malaysia 2020 menyasarkan kehadiran pelancong ke Malaysia lebih 36 juta pelancong  sekaligus mengutip dan meningkatkan pengaliran wang masuk ke dalam negara kita sebanyak RM168 bilion.