KUALA LUMPUR –  Badan Kehakiman adalah komponen penting, walaupun bukan satu-satunya dalam sistem semak dan imbang.

Prof Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, pemegang Kursi Tunku Abdul Rahman, Fakulti Undang-undang Universiti Malaya berkata badan kehakiman mestilah terpisah dan bebas daripada dua badan lain di negara ini iaitu badan eksekutif dan perundangan.

“Ia adalah seperti injap keselamatan yang tanpanya demokrasi tidak dapat berkembang. Atas sebab ini, kebebasan badan kehakiman harus dilindungi, integriti dan kebolehannya harus dihargai dan menghormati keputusan mahkamah harus dipertahankan.

Para hakim, baik lelaki dan wanita, mestilah berintegriti, tidak berat sebelah dan mempunyai kebijaksanaan dalam perundangan. Selain mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam mengenai undang-undang, mereka juga harus mempunyai “sense of justice.”

Mereka harus mempunyai keberanian moral untuk berdepan antara rakyat dan negara serta mentadbir keadilan tanpa berat sebelah dan takut kepada dua badan lain,” kata beliau dalam ucapannya bertajuk “30th Anniversary of the 1998 Judicial Crisis: Lesson about  the Importance  of Judicial Independence and Impartiality” di sini.

Beliau juga berkata doktrin struktur asa telah dipulihkan dan bidang kuasa kehakiman yang tersekat melalui pindaan kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan nampaknya telah dikembalikan dan menambah kuasa semakan mahkamah sivil terhadap mahkamah-mahkamah syariah telah ditekankan.

“Peraturan “locus standi” telah diliberalisasikan. Doktrin baharu “proportionaliti” dalam undang-undang pentadbiran telah diperkenalkan,” kata beliau.

Shad selanjutnya berkata prinsip keadilan semulajadi telah diangkat daripada peraturan common law kepada sebahagian daripada proses sewajarnya dan pelaksanaan saksama di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan dan dalam kebanyakan kes, perlembagaan ditafsirkan secara prismatik. - Bernama