ARAU - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong, Datuk Seri Azlan Man hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tanpa kehadiran sembilan lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN).

Beliau mengangkat sumpah untuk penggal kedua pada upacara yang berlangsung di Istana Arau di sini.

Pada PRU14 lalu, BN menang 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), manakala Pakatan Harapan (Harapan) tiga kerusi dan Pas dua kerusi.

Semua  Adun PH dan Pas menghadiri majlis itu.

Azlan ketika ditemui selepas itu berkata beliau komited untuk menjalankan tugas sebagai Menteri Besar dengan cara terbaik dan berharap mendapat sokongan penuh daripada wakil-wakil rakyat yang lain khususnya daripada BN bagi merealisasikan agenda pembangunan di Perlis.

“Saya tahu kerajaan negeri kini sudah jadi pembangkang dan ini tidak menjadikan tugas ini lebih ringan tapi lebih berat, tapi ini adalah cabaran yang harus kerajaan negeri hadapi dan saya akan berusaha sebaik mungkin.

[ARTIKEL BERKAITAN: MB Perlis dipecat daripada Umno]

“Saya akan berbincang dengan Pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN) (yang juga Pemangku Presiden Umno) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (yang menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno) untuk dapatkan pandangan dan panduan mereka mengenai apakah formula terbaik untuk bolehkan pelantikan barisan exco yang akan bentuk kerajaan negeri,” kata Azlan.

Beliau berkata, pihaknya juga akur dengan sebarang perubahan dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan pusat dan yakin rakyat di Perlis tidak akan dianak tirikan.

Azlan berkelulusan Sarjana Ekonomi Antarabangsa dari Universiti of Denver, Amerika Syarikat, memulakan tugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1983 dan pernah menjadi Konsul Malaysia di Toronto, Kanada pada 1985 dan Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Luar pada 1992.

Beliau juga pernah menjadi Kaunselor Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Amerika Syarikat pada 1999.

Pada 2003, anak kelahiran Arau itu menjadi Setiausaha Bahagian Afrika dan Sahara Selatan di Kementerian Luar dan pada 2011 memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam (BPA) sehingga bersara untuk bertanding pada pilihan raya umum pada 2013.-Bernama