SHAH ALAM – Tanpa disedari, garam boleh meningkatkan risiko kematian pramatang. Pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit hipertensi.

Demikian menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr S Subramaniam mengenai Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2017.

Beliau berkata, hipertensi yang tidak terkawal akan menyebabkan penyakit jantung dan strok, dan seterusnya boleh menyebabkan kematian.

“Pada tahun ini World Action On Salt and Health (WASH) menetapkan Minggu Kesedaran Garam Sedunia disambut pada 20 hingga 26 Mac 2017 dengan tema ‘Garam, Pembunuh Senyap’ (Salt The Forgotten Killer).

“Menerusi kajian pada tahun 2015 (MySalt Study) di kalangan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan purata pengambilan garam adalah sebanyak 7.15 gram (atau 2.9 gram sodium) sehari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kajian ini adalah sebagai proksi yang menunjukkan tahap pengambilan garam dalam populasi rakyat Malaysia.

“Pengambilan ini adalah hampir dua kali ganda berbanding saranan WHO iaitu lima gram garam sehari.

“Kajian ini juga mendapati makanan bermasak seperti nasi goreng, telur dadar, nasi lemak, roti canai, mi goreng) serta sos dan perisa masakan merupakan penyumbang utama kepada pengambilan garam yang tinggi,” katanya.

Tambahnya, Malaysian Adults Nutrition Survey (MANS, 2014) juga mendapati kicap soya merupakan antara 10 makanan utama yang diambil oleh rakyat Malaysia setiap hari.

“Masih banyak makanan di Malaysia yang tinggi garam walaupun ia tidak berasa masin dan tidak sepatutnya berasa masin.

“Usaha berterusan adalah penting untuk memastikan rakyat tidak terdedah kepada makanan yang tinggi garam.

“Salah satu strategi pengurangan garam yang dijalankan KKM adalah bekerjasama dengan industri makanan untuk reformulasi produk makanan bagi menurunkan kandungan garam,” ujarnya.

Sehingga kini, terdapat 46 produk makanan dari pelbagai kategori termasuk mi segera, serbuk atau kiub perasa, sos, biskut, makanan ringan, daging beku, dressing, teh dan minuman 3 dalam 1 telah dikurangkan kandungan garam berbanding formulasi asal.

“Walaupun jumlah dan kategori produk yang dikurangkan kandungan garam ini masih rendah berbanding jumlah produk makanan yang ada, namun usaha ini tidak mustahil dan perlu terus dipertingkatkan lagi.

“Pihak industri makanan diminta untuk lebih proaktif dan tampil bekerjasama di dalam mereformulasi lebih banyak produk makanan mereka,” katanya.

Subramaniam berkata, usaha lebih agresif pihak industri adalah sangat penting bagi memastikan masyarakat mendapat lebih banyak pilihan makanan rendah garam sebagai pilihan lebih sihat, dan seterusnya membantu mengurangkan pengambilan garam.

“Saya menyeru agar masyarakat lebih peka terhadap pengambilan garam harian dengan mengambil langkah-langkah seperti kenali produk makanan yang tinggi garam dengan membaca label sebelum membeli makanan.

“Memilih makanan yang dilabelkan ‘kurang sodium’, ‘rendah garam’, ‘sangat rendah garam’ atau ‘bebas garam serta mengurangkan penggunaan kicap, sos, taucu, kiub dan serbuk perasa dalam penyediaan makanan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Ramai tidak menyedari telah memakan garam secara berlebihan sama ada nyata atau tersembunyi setiap hari.