KUALA LUMPUR – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2018 membuktikan bahawa Malaysia setaraf dengan negara-negara lain dari aspek pertahanan dan keselamatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ia setaraf dari segi teknologi yang digunakan dalam sistem membuat laporan polis secara atas talian (sistem e-reporting) dan pemilikan senjata baharu jenis Advance Colt Carbine – Monolithic (ACC-M) bagi Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi menggantikan senjata jenis Colt M16A1.

Beliau berkata pada pameran berkenaan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) banyak mempamerkan aset-aset pertahanan menggunakan teknologi canggih dan terkini.

“DSA dan NATSEC Asia 2018 telah mendapat banyak pujian daripada wakil serta delegasi antarabangsa di seluruh dunia dengan pameran yang besar.

“Selain itu, ia juga merupakan kejayaan yang amat membanggakan dan saya menganggap pameran ini sesuatu yang luar biasa bagi pihak kerajaan dan rakyat negara ini,” katanya kepada Bernama di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, PDRM dan ATM sentiasa mengutamakan aspek pertahanan dan keselamatan negara dengan mengadakan persidangan berhubung isu keselamatan negara pada DSA dan Natsec Asia 2018.

Beliau berkata melalui persidangan berkenaan, banyak perkara yang dibincangkan khususnya untuk mempertingkatkan pertahanan dan keselamatan negara.

Selain itu, Mohamad Fuzi juga mengalu-alukan pemain industri syarikat berkaitan pertahanan untuk berkolaborasi dan menyertai DSA dan NATSEC Asia pada tahun 2020.

“Semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan Persidangan dan Pameran DSA serta NATSEC Ke-17  akan diadakan dari 20 hingga 23 April 2020 dan PDRM memberi sokongan mengenai perkara berkenaan,” katanya.

Acara di MITEC itu menghimpunkan kira-kira 1,500 syarikat berkaitan pertahanan dan 350 perwakilan dari 45 negara, antaranya Korea Selatan, China, Jepun, Australia, Pakistan, Rusia dan Indonesia.

Pameran empat hari bermula Isnin lepas itu dijangka menarik kunjungan 40,000 pelawat dan menjadi platform bagi pengurusan pertahanan dan keselamatan di seluruh dunia untuk bertukar-tukar idea, sambil memberi peluang kepada peserta industri memasarkan produk mereka. - Bernama