KUALA LUMPUR – Datuk Ismail Kassim merafak sembah kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk melantik calon lain selain dirinya dan Adun Bintong Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar Perlis.

Adun Tambun Tulang itu juga mencadangkan mana-mana lapan Adun BN yang lain untuk menerajui negeri berkenaan.

"Demi menyelesaikan kemelut yang berlaku ini, kami mencadangkan mana-mana satu antara ​​mereka​untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar.

"Mereka ini mempunyai pelbagai latar belakang yang tidak ada masalah memimpin negeri, asalkan bukan saya dan Azlan.

"Kami bersedia untuk bersama-sama menghadap Tuanku sekiranya dipanggil bagi memperbetulkan keadaan demi kebaikan rakyat Perlis," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Katanya, beliau tidak mahu dilihat sebagai gila kuasa atau menteri besar boneka hanya kerana namanya dicalonkan oleh abangnya yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Tuanku Syed Sirajuddin semalam menzahirkan rasa dukacita susulan tindakan sembilan Adun BN yang tidak hadir pada majlis pelantikan dan angkat sumpah Azlan sebagai menteri besar Perlis.

[ARTIKEL BERKAITAN: Raja Perlis murka tindakan 9 Adun]

Kesemua mereka tidak hadir kerana dikatakan tidak bersetuju dengan pelantikan Azlan.

BN memenangi 10 daripada 15 kerusi Dun Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.-  Bernama