WASHINGTON - Reuters melaporkan, penyiasat Amerika Syarikat mempercepatkan siasatan ke atas 1MDB yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bertukar-tukar lebih banyak bukti dengan pihak berkuasa Malaysia sejak kekalahan Najib pada PRU14 bulan lalu.

Tiga sumber yang rapat dengan siasatan itu berkata, sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk Malaysia, AS dan Switzerland menyiasat dakwaan bahawa Najib dan sekutunya menerima sebahagian daripada wang AS$4.5 bilion yang didakwa daripada 1MDB.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kini percaya, kerajaan baharu bersedia bekerjasama ketika pihak berkuasa AS melihat Najib secara aktif cuba menghalang penyiasatan.

Seorang pegawai penguatkuasa undang-undang AS berkata, walaupun pihak pendakwaan AS menimbangkan kemungkinan untuk mendakwa Najib dan sekutu, namun mereka lebih berminat jika Malaysia sendiri memfailkan pertuduhan jenayah terhadap mana-mana pegawai kerajaan Malaysia.

Difahamkan Najib kini mendapatkan khidmat bekas Peguam Negara AS, John Ashcroft dan firma peguambela David Boles yang berpangkalan di New York untuk mewakili beliau berhubung penyiasatan AS.

Dalam beberapa siri rampasan aset tahun lalu, pihak pendakwa AS dalam kertas mahkamah mendakwa sebahagian wang yang daripada 1MDB dimasukkan ke dalam akaun individu dikenali sebagai “Malaysian Official 1” (MO1).

Sejak Najib kalah pilihan raya, kerajaan baharu bekerja keras untuk mendapatkan kembali wang yang didakwa disalurkan daripada 1MDB.

Ia kini menimbangkan untuk meminta bantuan kerajaan AS meminta bank pelaburan Goldman Sachs memulangkan hampir AS$600 juta dalam bentuk fi yang diperolehinya daripada penerbitan bon bagi pihak 1MDB, kata sumber yang mengetahui perkara itu kepada Reuters semalam.

“Permohonan rasmi berhubung perkara itu belum dibuat tetapi pegawai atasan sedang membincangkannya dalam kalangan pemimpin kerajaan,” katanya

Pengganti Najib, Perdana Menteri Tun Dr Mahthir Mohamad berkata, Malaysia juga mahu menahan ahli perniagaan Low Taek Jho, individu paling dikehendaki dalam skandal itu yang bertindak sebagai penasihat dalam pelaburan dan rundingan urus niaga bagi pihak 1MDB.

Siasatan itu kini dikatakan mencapai kemajuan selepas kekalahan Najib pada PRU14, bulan lalu.

Najib bagaimanapun konsisten menafikan sebarang salah laku berhubung dakwaan rasuah melibatkan 1MDB.