SHAH ALAM - Arak murah berbahaya kerana proses pembuatannya tidak dipantau namun hakikatnya semua arak memberi risiko kepada kesihatan.

Pegawai perubatan Persatuan Perubatan Islam Malaysia ( Imam), Dr Ahmad Faidhi Mohd Zaini berkata, kajian menunjukkan alkohol berada di tangga ketujuh penyebab kepada kematian dan penyakit di seluruh dunia.

Menurutnya, antara penyakit dikaitkan dengan arak adalah kanser, sakit jantung, hati dan saraf malah jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan di bawah pengaruh alkohol juga tinggi.

“Arak murah bahaya kerana proses pembuatan tidak dipantau. Boleh jadi dihasilkan mereka yang tidak berpengalaman di rumah atau kilang yang tak diluluskan.

“Paras alkohol, racun atau bendasing tidak diuji pada arak murah yang biasanya dijual secara tidak berdaftar. Tapi, semua jenis arak memberi risiko kepada kesihatan.

“Kajian terbaru terbitan jurnal The Lancet di 195 buah negara dari 1990 hingga 2016 menyimpulkan alkohol berada di tangga ketujuh punca kepada kematian dan penyakit di seluruh dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, selain kesan negatif kepada kesihatan, arak juga memberi masalah dari segi sosial kerana sering membawa kepada pergaduhan, maksiat dan kerosakan rumah tangga.

Jelasnya, itulah hikmahnya arak diharamkan secara total dalam Islam kerana keburukannya lebih besar dari manfaat.

“Seperti disebut dalam al-Quran yang mengumpamakan arak sebagai najis keji dan amalan syaitan yang wajib dijauhi,” ujarnya.