KEMAMAN - Bengkel Motosikal Apek yang terletak di Kampung Tengah Kijal, di sini, amat popular dalam kalangan komuniti setempat, kerana pemiliknya yang berketurunan Tionghua sangat fasih bertutur dalam loghat Terengganu.

Kefasihan Tan Chow Kee, 56, berkomunikasi dalam loghat tempatan itu juga memberi kelebihan kerana bengkelnya menjadi tumpuan ramai penduduk kampung terutama golongan belia.

Meskipun raut wajah bapa 10 anak ini kelihatan garang, namun pelanggan yang datang untuk membaiki motosikal atau membeli alat ganti serta aksesori motosikal, pastinya tertambat hati apabila mendengar kepetahan dan keramahannya berbicara dalam loghat Terengganu pekat, tak ubah seperti orang Melayu.

Kelebihan itu jugalah membuatkan orang ramai tidak kekok dan selesa mengunjungi bengkelnya, lebih-lebih lagi harga dan upah yang dikenakan amat berpatutan.

Membesar dalam komuniti Melayu

Chow Kee yang mesra disapa dengan nama Apek berkata, dia fasih dalam loghat Terengganu kerana membesar dalam kalangan komuniti Melayu sejak dilahirkan.

Katanya, semua teman sepermainannya semasa kecil adalah orang Melayu, justeru lidahnya sudah sebati dengan loghat tempatan itu.

Chow Kee bersekolah rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kemaman di Jalan Jakar, Chukai dan kemudiannya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah (kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan) Badrul Alam Shah di Kemasik.

“Bahasa, budaya dan makanan tradisi Melayu sebati doh (dah) dalam diri saya. Kita kang (kan) 1Malaysia, kita sama-sama kongsi hidup di bumi bertuah ning (ini).

“Kita semua tak dok (tiada) beza apa-apa. Orang Melayu doh jadi kawang (kawan) saya sejak kecik (kecil). Saya selesa duduk di tengah-tengah komuniti Melayu macam mendiang ayoh (ayah) saya dulu jugok (juga),” katanya yang bertemu jodoh dengan wanita Tionghua berasal dari Kelantan.

Warisi perniagaan mendiang bapa

Chow Kee, anak kesembilan daripada 12 beradik ini mewarisi perniagaan bengkel motosikal mendiang bapanya yang berasal dari China sebelum belayar menaiki kapal dan singgah untuk memulakan hidup baharu di Kijal.

Katanya, bapanya terlebih dahulu mencari rezeki sebagai nelayan dan turut memiliki bangsal memproses ikan, sebelum beralih kepada perniagaan membaik pulih motosikal dan menjual alat ganti.

Menurutnya, perniagaan yang diwarisi itulah menjadi kesinambungan rezeki buat keluarganya dan rezeki yang diperoleh itu turut dikongsi bersama orang Melayu kerana pekerjanya, semua orang Melayu.

“Pelanggan saya juga majoritinya semua Melayu. Saya bersyukur sebab dengan adanya bengkel dalam kawasan kampung ning (ni), dapatlah bantu orang kampung, mereka tak payah gi (pergi) jauh ke bandar Chukai untuk repair (baiki) motosikal.

“Selain bengkel saya, ada lagi tiga bengkel lain di kampung ini. Dok (tak) kisahlah banyak bengkel pun, tapi kita niaga (bersaing) cara sihatlah,” katanya yang  turut memberitahu  tiga adik -beradiknya  berkahwin dengan orang Melayu.

Tidak berkira dengan pelanggan

Sementara itu, seorang pelanggan tetap bengkel Chow Kee, Fairuz Zakaria, 40, berkata, sikap Chow Kee yang tidak berkira dengan pelanggan membuatkan dia senang mahu berurusan di bengkel berkenaan setiap kali motosikalnya mengalami masalah.

“Dia orang lama (kat) kampung ning (ini). Dia caj upah pun dok (tidak) mahal sangat jadi kalau nok (nak) jimat, moleklah hantar motosikal kat bengkel ning. Kita pun mudoh (mudah) nok cakap dengan dia sebab dia fasih loghat Ganu, sesetengah hok (yang) lain ada pelat sikit tapi dia dok.

“Hok paling penting dia mudoh kire (sangat bertimbang rasa) dan kita juga sangat puas hati dengan (hasil) kerja dia. Lagi pun dia juga paka (pakai) mekanik hok mahir, jadi memang puas hatilah dengan servis bengkel Apek ning,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PANDAN INDAH - Semangat menabur bakti kepada masyarakat sejak 10 tahun lalu tidak pernah luntur dari diri seorang Ahli Lembaga Pelawat Hospital Ampang, Datin Leong Siew Kam.
  • KOTA TINGGI - Pergaulan dengan rakan-rakan Cina ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading, Batu Pahat, memberi kelebihan kepada Noraneza Adam, 33, apabila berjaya menubuhkan tadika berkonsep 1Malaysia dengan kolaborasi guru berbangsa Cina dan India.