KUALA LUMPUR - Meneruskan sindirannya terhadap kerajaan PH, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa banyak perkara pelik timbul kebelakangan ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ini termasuklah pengenalan skim FundMyHome dan mata wang kripto Harapan Coin.

“Macam-macam benda pelik timbul kebelakangan ini. Mula-mula ada Skim FundMyHome yang dikatakan akan bantu pemilikan rumah tetapi tiada orang yang bersetuju, hanya Menteri Kewangan dan pemilik skim bertegas.

“Kemudian mata wang kripto Harapan Coin dicadang digunakan dalam transaksi kerajaan. Ia telah beroperasi tanpa kelulusan dan pemilik skim (developer) diakui akan dapat 30 peratus. Menteri mengaku juga dia dan rakan-rakan terlibat dalam projek ini,” katanya di Facebook hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: 'Dedah siapa dalang Harapan Coin' ]

Berkenaan isu mata wang kripto, menurut Najib, beliau akan memberikan lebih banyak pandangan dalam masa terdekat.

“Saya teringat juga berita mengenai mata wang kripto kuda atau Horse Currency oleh sebuah syarikat swasta, di mana mereka akan tawarkan duit syiling awal atau ICO kepada orang awam. Baguslah. Lepas ini apa pula?

“Saya akan berikan lebih banyak pandangan mengenai mata wang kripto dalam beberapa hari ini,” katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Harapan Coin: Najib akan lawan demi rakyat ]