SHAH ALAM - Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad hairan dengan sikap pemimpin dan ahli-ahli Umno yang mendakwa kononnya tidak tahu tentang wang dikaitkan dengan bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai mustahil kerana seluruh dunia sedia maklum mengenai wang berkenaan.

"Seluruh dunia tahu, tapi mereka tak tahu. Kalau mereka betul-betul tak tahu, ini bermakna bahawa mereka tak ambil berat dalam perjuangan parti mereka.

"Mereka cuma senang dengan layanan yang diberikan kepada  mereka," katanya menerusi rakaman video dimuat naik di laman sosial Facebook Bersatu hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak boleh menerima ahli-ahli Umno masih percaya bahawa dakwaan kononnya duit RM2.6 bilion itu hasil sumbangan daripada Arab Saudi.

"Saya minta RM100 pun tak dapat, inikah pula RM2.6 bilion. Apakah yang Najib buat begitu baik sehingga Arab hendak bagi duit sebegitu banyak? Tak masuk akal.

"Yang masuk akal ialah beliau curi duit 1MDB, tetapi ada ahli Umno kononnya tidak tahu dan tidak percaya dakwaan ini. Kalau orang macam ini, nak jadi ahli Umno dia tetap akan merosakkan Umno dan kalau masuk Bersatu, dia akan rosakkan parti Bersatu," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib boleh cakap apa sahaja tentang RM2.6 bilion]