IPOH - Masyarakat negara ini memahami bahawa Islam dan agama lain tidak menyokong perkahwinan sejenis seperti yang diingini golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dia sependapat dengan tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan bahawa negara ini tidak boleh menerima LGBT atau perkahwinan sejenis.

“Ada media cuba laga-lagakan saya dengan Tun M sebab Tun M cakap dia tak setuju dengan LGBT, Anwar pula kata kaji semula undang-undang sodomi (liwat).

“Saya dan Tun M, dalam soal ini tidak bersetuju dengan perkahwinan sejenis yang bukan sahaja fahaman agama kita tetapi juga Hindu, Buddha dan Kristian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Amanat Perdana Malaysia Baru Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Auditorium RTM Ipoh, di sini, hari ini.

Menurut Anwar terdapat perbezaan apabila dia menyebut undang-undang liwat sedia ada kerana ia dibawa British ke India semasa zaman penjajahan mereka.

“Malaysia ketika itu Malaya ambil undang-undang itu bawa ke sini dan bagi saya undang-undang ini tidak adil dan harus dikaji semula,” katanya.

Tambahnya tindakan segelintir media melaga-lagakan beliau dan Dr Mahathir tidak berkesan kerana mereka sudah bersepakat untuk menyelamatkan negara daripada kerosakan yang dilakukan pemimpin sebelum ini.

“Saya dengan Tun M dah baik lama dah. Bergaduh pun lama, tak ramai yang bergaduh seperti saya dan Tun M, berperang habis-habisan.

“Sekarang kami dah pakat sebab nak selamatkan negara dari rompakan pemimpin terdahulu,” katanya.

Terdahulu, Anwar menyifatkan undang-undang berkaitan liwat pernah dikenakan ke atasnya sebagai kuno, ketinggalan zaman serta tidak adil kerana ia peninggalan kolonial yang diperkenalkan di India sebelum dilaksanakan di Malaysia.