KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia menolak pimpinan Datuk Seri Najib Razak kerana mahu jaminan kebajikan dan hentikan kezaliman serta keangkuhan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemenangan Pakatan Harapan (Harapan) adalah hasil sokongan kaum Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan, Bugis dan lain-lain.

"Kawasan kaum Dayak menang di mana? Itulah kawasan paling hulu dan paling hujung, kalau orang Kedah kata, tempat jin bertendang...puncak Borneo sana.

"Kaum Cina pun sokong kita semua. Kenapa? Kerana mereka rasakan kita dapat beri alternatif untuk tegakkan keadilan.

"Malah, PRU kali ini adalah luar biasa. Untuk PKR kita ada enam ahli parlimen bagi kaum India yang menang, mereka juga sokong kita," katanya selepas majlis iftar di kediamannya di Bukit Segambut Dalam, di sini, tadi.

Pada PRU14, Harapan meraih majoriti mudah di Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu selepas memenangi 135 daripada 222 kerusi.