KUALA LUMPUR - Anugerah Diraja Kewangan Islam 2018, pengiktirafan dan penghargaan kepada individu yang telah memberikan sumbangan yang besar dalam bidang kewangan Islam, akan berlangsung pada 3 Oktober ini di sini.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkata pencarian global telah dibuka pada Januari tahun ini, dan telah menerima 30 nama daripada 53 pencalonan -- jumlah pencalonan tertinggi sejak anugerah dwitahunan itu mula diperkenalkan pada 2010.

Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia Tun Musa Hitam akan terus mengetuai panel tujuh orang juri, yang terdiri daripada para sarjana dan peneraju industri kewangan Islam terkemuka termasuk Pengerusi Malaysia Debt Ventures Bhd Tan Sri Zarinah Anwar, Ahli Majlis Penasihat Syariah SC Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman, dan Presiden Pesuruhjaya PT Bank Mandiri Shariah Dr Mulya Effendi Siregar.

Musa berkata tahun ini menyaksikan pencalonan dari kalangan mereka yang mempunyai pencapaian luar biasa, dari pelbagai negara dan mewakili kumpulan pihak berkepentingan kewangan Islam yang luas, merangkumi pakar Syariah, ahli akademik, pengamal pasaran, institusi penyelidikan, agensi kerajaan dan organisasi multilateral.

Para juri akan menilai sumbangan calon terhadap kecemerlangan kewangan Islam pada peringkat global, termasuk dalam menerajui pembentukan dasar, membangunkan dan memperluas pasaran, menyokong kewangan Islam, merintis inovasi, memperluas sempadan ilmu pengetahuan dan mempamerkan ciri-ciri kepimpinan cemerlang selain mempunyai pengaruh yang besar.- Bernama