SHAH ALAM - Negara hari ini memerlukan ketokohan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, idealisme perjuangan Anwar tetap segar seperti zaman 80-an lalu.

"(Intipati) wawancara Anwar cukup menarik. Idealisme perjuangan tetap segar, sama saperti di tahun 80-an dan 90-an.

"Malah pendiriannya cukup kejap dalam isu Islam, Melayu,Raja-raja dan ummah.

"Negara lebih memerlukan beliau kini," katanya menerusi di Facebooknya, hari ini.

Menurut Annuar, idealisme Anwar pernah terhalang ketika pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dulu.

"Malangnya idealisme ini terhalang apabila beliau mula mencabar atau di rasakan mencabar Tun Mahathir.

"Hal sama di lalui Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan Datuk Seri Najib Razak.

"Kita mendoakan kali ini beliau lebih arif. Pisang jangan berbuah dua kali," katanya.

Dalam pada itu, beliau sempat melahirkan kebimbangan terhadap suasana negara hari ini.

"Islam, Melayu, Raja-raja, bahasa banyak dikompromikan kerana pimpinan datang daripada parti yang terlalu lemah dan kedudukannya terlalu bergantung kepada sokongan orang lain.

"Kita terpaksa membayar dgn harga yg mahal jika ini berterusan. 'Please save Malaysia'," katanya.