PASIR PUTEH – Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (Angkasa) mencadangkan setiap pelajar yang menyertai Kiosk Coop Niaga yang ditubuhkan di 395 buah sekolah menengah di seluruh negara menambah saham mereka kepada RM100 berbanding RM5 sekarang bagi mendapatkan pulangan yang lebih besar.

Presidennya, Datuk Abdul Fatah Abdullah berkata, penambahan saham itu dapat membantu mereka terutama pelajar miskin mendapat modal dan keuntungan yang lebih baik sebaik sahaja mereka tamat di peringkat menengah, sekaligus dapat dijadikan wang pendahuluan ketika mahu menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.

“Modal dan keuntungan itu dapat membantu mereka menyediakan perbelanjaan awal seperti pakaian dan keperluan lain sebelum mendapat pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kiosk dan Gelanggang Petanque Koperasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil di sini, hari ini.

Abdul Fatah berkata sebahagian besar koperasi berkenaan memperoleh keuntungan melebihi 20 peratus setiap tahun dan membolehkan pihak sekolah mengadakan pelbagai aktiviti kokorikulum dan program kecemerlangan pelajar.

“Bagaimanapun  pelajar pula mendapat faedah yang tidak seberapa disebabkan mereka melabur dalam jumlah saham yang terlalu kecil,” katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas  kira-kira dua juta pelajar, guru dan kakitangan sekolah menyertai koperasi dengan jumlah pelaburan sebanyak RM25 juta.

Dalam pada itu, Abdul Fatah berkata pihaknya mensasarkan menjelang 2020, lebih 50 koperasi sekolah mencatatkan hasil jualan melebihi RM1 juta setiap tahun berbanding hanya 15 koperasi ketika ini yang menjana keuntungan jualan sebanyak RM700,000 juta setahun.

Beliau berkata, setiap koperasi boleh mempelbagaikan hasil jualan termasuk membekalkan barangan keperluan asas seperti beras kepada kantin sekolah untuk mendapatkan keuntungan yang lebih lumayan.

“Kita berharap tiada halangan daripada pihak-pihak tertentu untuk membolehkan pihak sekolah berbuat demikian,” katanya. - Bernama