IPOH - Bermula tahun depan, wanita dan belia akan diberikan tempat dalam struktur pengurusan tertinggi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pindaan akta dalam struktur itu telah pun diluluskan menerusi Persidangan Tahunan Kebangsaan Angkasa (PTKA) yang berlangsung, Mei lalu untuk dihantar kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Menurutnya, menerusi pindaan itu, wanita dan belia mempunyai satu kuota dalam enam jawatan tertinggi Angkasa tanpa perlu bersaing dalam pemilihan sepertimana sebelum ini.

"Kita memang bercadang untuk wujudkan jawatan khusus paling tidak, naib presiden menerusi kuota khas, satu untuk wanita dan satu untuk belia, menerusi pemilihan yang kita buat sekarang, kepimpinan wanita dan belia sukar diangkat kerana perlu bersaing kuat dengan ahli lelaki lain.

"Pindaan ini telah kita hantar kepada SKM, secara dasarnya ia tidak pun menyalahi undang-undang jadi kita tunggu kelulusan daripada SKM sebelum dapat kuatkuasakan sepenuhnya, tahun hadapan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Wanita Desa Antarabangsa 2018 di Hotel Kinta Riverfront, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Angkasa Perak, Mohd Rosli Basri.

Selain presiden, lima lagi jawatan tertinggi dalam struktur pengurusan Angkasa adalah timbalan presiden (1) dan naib presiden (4).

Sementara itu dalam ucapannya, Abdul Fattah berkata, Angkasa secara dasarnya membuka banyak peluang kepimpinan kepada wanita dan mengharapkan mereka mampu berdaya saing dalam pembangunan koperasi.

Katanya, diakui koperator wanita menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi koperasi dan menjadi tulang belakang yang menggerakkan operasi di negara ini.

"Statistik SKM hingga Jun 2018 menunjukkan, 2.5 juta daripada 6.1 juta anggota koperasi adalah wanita, sebanyak 299 koperasi pula atau 1.6 peratus daripada 14,094 koperasi di negara ini adalah 100 peratus golongan wanita.

"Ini tidak termasuk koperasi yang mana keanggotaannya adalah majoriti wanita," katanya.