GEORGETOWN - Ibu dan isteri Ketua Pemuda MCA Tanjong, Lim Swee Bok yang terkorban dalam kejadian kebakaran Rabu lepas, disemadikan di Krematorium Batu Gantung di sini hari ini.

Lebih 100 orang termasuk saudara-mara dan rakan, pemimpin MCA dan wakil daripada Majlis Belia Negeri Pulau Pinang menghadiri upacara itu.

Suasana pilu menyelubungi krematorium itu apabila mayat isteri Swee Bok, Chen Yen, 53, dan ibunya Lau Sai Poh, 62, tiba kira-kira jam 3.30 petang.

Sami kemudian membacakan doa dan menjalankan upacara itu mengikut agama Buddha sebelum mayat Chen Yen dan Sai Poh disemadikan.

Swee Bok berterima kasih kepada pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, pemimpin BN dan anggota MCA atas sokongan mereka serta media yang memberikan laporan berita berkaitan kejadian itu.

Katanya, beliau berjanji untuk menjaga ibu dan bapa mentua serta adik lelakinya yang akan menyediakan tempat tinggal untuk beliau buat masa ini.

“Laporan media akan membantu masyarakat agar berkasih sayang selain meningkatkan kesedaran bahaya kebakaran,” katanya pada upacara pengebumian itu di sini hari ini.

Beliau berkata empat abu akan ditempatkan di Nirvana West Lake di Air Itam.

Sebelum itu, Swee Bok dilihat menangis apabila mayat anak-anaknya Lim Jia Yinn, 8, dan Lim Yin Chun, 9, disemadikan kira-kira 11 pagi tadi.

Mayat kedua-dua anaknya yang tiba lebih awal, diiringi oleh kira-kira 50 saudara-mara terdekat, rakan dan guru sekolah serta teman-teman.

Nenek mereka, Chen Li Hua, yang tiba dari China dilihat menangis apabila dua keranda itu ditolak ke dalam insinerator untuk dibakar.

Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, kebakaran berlaku di rumah Swee Bok di Pintasan Cecil 5 off Cecil St Ghaut sehingga mengorbankan ibu, isteri dan kedua-dua anaknya itu.

Ketika kejadian, Swee Bok bekerja pada syif tengah malam. Beliau telah kehilangan bapanya akibat kanser kira-kira dua minggu lepas. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :