SHAH ALAM - Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menyambut baik keputusan Lembaga Pengarah Koperasi Permodalan Felda (KPF) membatalkan Mesyuarat Agung Khas (EGM) yang sepatutnya diadakan esok.

Sehubungan itu, Anak mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membatalkan pelan menyenaraikan Felda di Bursa Malaysia.

Keputusan pembatalan kali ini merupakan yang kedua diambil oleh KPF. KPF mengambil langkah yang sama Disember lalu ekoran permohonan injunksi difailkan oleh beberapa peneroka Felda.

"Sambil mengucapkan tahniah atas keputusan tersebut, Anak sekali lagi mengulangi desakan agar  Perdana Menteri membatalkan hasrat penyenaraian Felda Global Ventures di Bursa Malaysia," kata Presiden Anak, Mazlan Aliman dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Laporan Bernama hari ini menyebut, KPF membatalkan EGM yang dijadual berlangsung, esok.

Setiausaha KPF, Abidin Abdul Rahman berkata, pembatalan itu disebabkan oleh perintah injunksi Mahkamah Tinggi Kuantan bertarikh 17 Februari.

Lapan anggota KPF memfailkan permohonan mendapatkan perintah itu bagi menghalang koperasi berkenaan membuat sebarang keputusan pada mesyuarat esok.

Peguam yang mewakili mereka, Mohd Haris Abdullah, dilaporkan berkata bahawa perintah itu adalah bagi menghalang KPF melupuskan sama ada kesemua atau sebahagian daripada ekuiti KPF dalam Felda Holdings Berhad kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad.

EGM itu sepatutnya diadakan di Dewan Perdana Felda, Jalan Maktab, Kuala Lumpur bermula 3 petang.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, kehadiran Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda telah menggugat keharmonian 1.6 juta warga Felda dengan pelbagai pendekatan yang merugikan.

Kata Mazlan, tindakannya memberi amaran kepada kakitangan Felda jika menyokong pembangkang, memperalat Jabatan Seranta Felda, 'berperang' dengan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Shamsudin Othman dan mendalangi usaha penyenaraian FGVH telah menjejaskan Felda.

"Anak dengan ini mempertegaskan agar Tan Sri Isa Samad meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Felda serta-merta.

"Tumpukan perhatian sebagai Adun Bagan Pinang manakala rumah tangga Felda biarlah diserah kepada mereka yang berwibawa kerana terdapat 10 ribu anak-anak Felda yang mempunyai latar belakang pendidikan dan kerjaya yang boleh mengambil alih tempat beliau," kata Mazlan lagi.

Malah katanya, jika beliau enggan, Datuk Seri Najib Tun Razak wajar memecat beliau dengan segera.

"Mempertahankan Isa Samad adalah satu kesilapan besar yang menjauhkan hubungan warga Felda dengan kerajaan," kata beliau sambil menambah, menolak penyenaraian FGVH bukan bererti warga Felda menolak gagasan mengangkat ekonomi Felda atau mengantarabangsakan agensi itu di peta dunia.

"Proses penambahbaikkan ke atas Felda telah dilakukan. Penstrukturan terhadap Felda Holdings, Felda Plantations dan pengukuhan KPF juga sedang dibuat.

"Pandangan kritis Anak dalam isu Generasi Baru Felda, penyelenggaran kebun peneroka, kos tanam semula, kecelaruan kadar perahan gred dan lain-lain sedang ditangani oleh Felda meskipun sebahagiannya di bawa ke mahkamah," katanya yang mengharapkan agar ketenangan dan kedamaian di Felda akan dikembalikan.

Anak katanya, mahu agar Datuk Zulkefly Abd Wahab dan Abidin Abd Rahman dikembalikan ke jawatan mereka masing-masing sebagai Pengarah Besar Felda dan Timbalan Pengarah Besar Felda.

"Moga perkembangan Felda berterusan dan Anak bertindak sebagai 'check' dan 'balance' bagi memastikan Felda berada di landasan yang betul sebagaimana di asaskan Allahyarham  Tun Abd Razak," katanya lagi.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.