SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor yang baharu, Amirudin Shari bersama pentadbiran kerajaan negeri akan memastikan kesinambungan pentadbiran peduli rakyat yang telus dan berintegriti selepas ini.

Menerusi sidang media pertamanya sebagai menteri besar, Amirudin berkata, beliau berazam untuk meneruskan kecemerlangan Selangor sebagai negeri pintar dengan kerjasama strategik Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya dengan terbuka ingin mengajak anggota perkhidmatan awam di Selangor, pihak korporat dan swasta, parti politik serta terutama sekali seluruh rakyat untuk menggembleng tenaga memaju negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terpaksa melepaskan jawatan disandang beliau selepas Mahathir melantiknya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut mengenai pelantikan itu, Amirudin berkata, kekuatan pentadbiran kerajaan negeri pada penggal ini ialah barisan Exco dan Adun yang akan bersatu padu bagi menyumbang kepada beberapa tugas yang ditinggalkan oleh Mohamed Azmin sebelum ini.

“Ini bukan kemenangan individu tapi kemenangan Harapan. Dan selepas ini kita tidak mempunyai banyak masa untuk bermain politik dan perlu bekerja keras untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri mampu melaksanakan harapan dan mandat besar dalam pilihan raya lalu,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada akan berlaku perubahan portfolio dalam kalangan Exco selepas ini, Amirudin berkata, kemungkinan hanya akan berlaku perubahan dalam skala yang minimum berikutan pihak terlibat sudah mula serasi dengan tugas masing-masing.

Buat masa ini, Amirudin berkata, pihaknya akan menumpukan kepada perancangan negeri yang sedia ada dan sekiranya berlaku perubahan ia berkemungkinan akan mengganggu pelan tersebut.

“Mungkin akan ada penambahbaikan sikit kerana tumpuan kita adalah untuk menyampaikan apa yang dirancang dengan pendekatan baharu yang lebih lebih sesuai untuk pembangunan negeri,” katanya.