• Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
1 /

PETALING JAYA - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencabar kerajaan persekutuan supaya mengeluarkan surat kebenaran kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih industri perkhidmatan air negeri itu sekiranya mereka benar-benar ikhlas, bukannya berdolak-dalih.

Kata Khalid, persetujuan tidak mungkin dicapai sekiranya Kementerian Kewangan selaku pemegang saham terbesar dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) enggan menerima tawaran Kerajaan Negeri Selangor selepas banyak rundingan telah dilakukan.

"Jika kerajaan pusat enggan berbincang, usaha pengambilalihan air ini akan terbantut kerana tiada persetujuan.

"... bila kita jumpa Syabas tawar ambil alih, Syabas beri alasan Kementerian Kewangan tak bagi kelulusan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Asrama Anak Pekerja Ladang di sini, hari ini.

Khalid bagaimanapun mempertahankan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih industri perkhidmatan air negeri itu sambil menegaskan ia demi kepentingan rakyat bukannya mengaut keuntungan.

"Kita bukan nak naikkan harga air tetapi kita nak urus air dengan baik.

"... kita nak elak tarif harga air dinaikkan yang akan bebankan rakyat," katanya.

Abdul Khalid mengulas mengenai kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui Khamis lalu yang menafikan kerajaan pusat enggan memberi maklum balas terhadap surat yang dihantar oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih industri perkhidmatan air negeri itu dalam tempoh 14 hari.

Chin juga berkata pihaknya tidak menerima surat tersebut yang didakwa telah dihantar minggu lepas.