Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru rakyat supaya membuat pilihan tepat pada pilihan raya umum akan datang kerana ini penting untuk memastikan negara terus maju.
"Buatlah pilihan yang tepat. Kalau anda berada di persimpangan jalan, ambillah arah yang betul. Kalau anda ambil arah yang betul, saya yakin kita akan dapat melakukan transformasi terhadap Malaysia.
"Kita akan berada di barisan hadapan negara; kita akan berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, yang boleh kita banggakan," katanya ketika merasmikan persidangan sehari "Cina Malaysia Di Persimpangan Politik, anjuran bersama Institut Strategi dan Kepimpinan Asia dan badan pemikir MCA Insap di sini.
Najib, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata pilihan raya umum akan datang bukan untuk kepentingan beliau, tetapi untuk kepentingan masa depan Malaysia.
Oleh itu, kata Najib, beliau ingin mendapatkan mandat daripada rakyat setelah mendapatnya daripada BN dan Umno, yang beliau adalah pengerusinya.
"Dengan mandat yang anda berikan, saya berikrar, saya akan berusaha dengan sedaya upaya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat," katanya.
Beliau berkata kerajaan akan sentiasa mendengar apa yang disuarakan oleh rakyat, termasuk masyarakat Cina.
"Selama ini pun saya mendengarnya, dan berharap akan dapat mendengarnya dengan lebih lagi, tapi saya akan hanya dapat berbuat demikian sekiranya mendapat sokongan daripada rakyat. (Oleh itu) Untuk julung kalinya, saya ingin mendapatkan mandat daripada rakyat, kata beliau.
Sejak menjadi Perdana Menteri pada 2009, inilah kali pertama Najib akan menerajui Umno dan BN menghadapi pilihan raya umum. Pilihan raya umum sebelum ini diadakan pada 2008. - Bernama





