KUALA LUMPUR -  Nilai peratusan potongan gaji berjadual (PGB) yang diumum Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu dikaji semula dengan mengambil kira pandangan pihak yang terlibat.

Ketua Pemuda PH, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pengumuman berkenaan jadual PGB bagi peminjam PTPTN sebelum ini menimbulkan keresahan ramai.

Menurutnya, beliau sendiri secara peribadi menerima banyak mesej daripada anak-anak muda yang bakal terjejas apabila kaedah bayaran balik PTPTN mula dilaksanakan Januari depan.

"Nilai potongan diperkenal dalam PGB harus dikaji semula. Pihak PTPTN harus ambil pandangan pihak-pihak yang bakal terkesan termasuk peminjam dan majikan. Pihak PTPTN juga perlu lihat

realiti sara hidup yang dirasai peminjam.

"Kajian Bank Negara Malaysia tunjukkan lelaki bujang perlu RM2,700 kos sara hidup manakala pasangan berkahwin perlu (RM4,500) dan pasangan yang memiliki dua orang anak memerlukan (RM6,500) untuk hidup di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab dan liabiliti peminjam harus dipertimbangkan berbanding melihat pada jumlah gaji semata-mata.

"Berdasarkan PGB diperkenal PTPTN, mereka bergaji RM8,000 perlu bayar sebanyak RM1,200 sebulan.Sekiranya dah kahwin dan ads dua orang (atau lebih) anak, bagaimana peminjam boleh bayar sebanyak RM1,200 sebulan.

"Harus diingat, ramai  harap perubahan dalam pembiayaan pendidikan tinggi apabila undi PH.  Kekangan kewangan negara mungkin tidak memungkinkan kita terus laksana kadar pembayaran semula pada gaji RM4,000 sebulan sebagaimana dalam Buku Harapan dan Tawaran Harapan Anak Muda, namun kita masih boleh laksanak dasar menerima falsafah PH dan berpijak di bumi nyata,"katanya.

Dalam pada itu Nik Nazmi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, beliau kesal ketika isu PTPTN semakin parah, ramai 'peniaga pendidikan' ambil kesempatan membuka lebih banyak institusi  pendidikan tinggi swasta (IPTS) dengan kewujudan pinjaman pendidikan itu.

Lebih malang apabila ada sesetengah IPTS tidak relevan dalam industri.

Katanya, ada segelintir IPTS mempunyai kualiti yang baik namun lebih banyak berorientasikan keuntungan semata-mata dan mengambil kesempatan dana diperoleh dari PTPTN.  

"Struktur pendidikan tinggi di negara ini perlu dikaji supaya universiti awam boleh berperanan dengan lebih baik.

"Bagi yang tidak berminat menyambung pengajian di universiti pula, alternatif seperti institusi pengajian teknikal perlu diperkasakan.

"Dalam situasi kadar gaji umum graduan masih pada tahap rendah serta kepincangan konsep pendidikan secara keseluruhan yang menyebabkan ramai generasi muda terpaksa memilih IPTS untuk melanjutkan pengajian, penyelesaian yang diberikan PTPTN harus lebih adil dan realistik,"katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Peminjam PTPTN bayar RM40 mulai 1 Januari 2019]

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan potongan gaji peminjam PTPTN berpendapatan RM2,000 akan bermula 1 Januari 2019.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, buat masa ini jalan terbaik yang dapat ditawarkan kerajaan ialah potongan serendah RM40 bagi peminjam bergaji RM2,000.

Manakala Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan pula berkata, menerusi kaedah bayaran balik itu, PTPTN akan mengeluarkan arahan potongan gaji mengikut peratusan tertentu kepada majikan dan majikan bertanggungjawab membuat potongan itu.

Katanya lagi PGB lebih adil kerana dapat memastikan mereka yang kurang berada tidak terbeban sementara yang kaya pula tidak boleh mengambil kesempatan.

[ARTIKEL BERKAITAN: PGB: PTPTN hubungi enam egensi kumpul maklumat majikan]

[ARTIKEL BERKAITAN: PTPTN: Anwar hantar nota segera kepada PM]