PETALING JAYA - Amaran keras dikeluarkan pihak berkuasa berhubung tindakan rampasan motosikal bakal dikenakan kepada pengusaha perkhidmatan teksi motosikal ‘Dego Ride’ dianggap kejam dan zalim.

Adun Bukit Gasing, R Rajiv berkata, pihaknya mengecam amaran yang seolah-olah mengugut pengusaha ‘Dego Ride’ supaya tidak meneruskan perkhidmatan tersebut.

Katanya, tindakan tersebut kejam kerana sebahagian besar daripada mereka yang menjalankan aktiviti itu berpendapatan rendah.

Menurutnya, rampasan motosikal bukan sahaja menjejaskan keupayaan menjana pendapatan lebih malah memberi kesan kepada pemilik untuk bekerja di tempat lain.

“Ini kerana mereka juga memerlukan motosikal sebagai pengangkutan ke tempat kerja jika tak dapat tawar khidmat tersebut,” katanya.

Rajiv berkata, ketika Kabinet masih belum memberi kata putus berhubung nasib ‘Dego Ride’ menteri berkaitan sepatutnya memberi tumpuan lain khusus  meningkatkan keselamatan penunggang motosikal secara keseluruhan.

“Bukankah ini lebih baik daripada memburu 6,000 pemandu Dego Ride yang tidak bersalah dan merampas motosikal mereka? Daripada memburu mereka, lebih baik kementerian tangani masalah penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar.

“Ini kerana 35 peratus daripada kemalangan maut membabitkan motosikal adalah disebabkan penunggang yang tidak memakai topi keledar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga kesal dalam kenyataan terdahulu, tiada langsung sebarang pengumuman daripada pihak kementerian berhubung kempen atau usaha untuk meningkatkan keselamatan penunggang motosikal, selain ‘dendam’ memusnahkan perkhidmatan Dego Ride.

“Sudah sampai masanya kementerian berkenaan berhenti menjadi hipokrit. Menterinya perlu ambil berat keselamatan penunggang motosikal dan ambil tindakan untuk atasi faktor sebenar punca kemalangan.

“Berdasarkan statistik, lebih 80 peratus kemalangan membabitkan penunggang, kurang 20 peratus daripada kecederaan melibatkan pembonceng. Ini menunjukkan bahawa penumpang Dego Ride hanya berisiko rendah terbabit kemalangan,” katanya.