SHAH ALAM – Pemuda Amanah hari ini menggesa kerajaan mengambil langkah menetapkan harga siling petroleum di dalam negara.

Menurut Ketuanya, Mohd Sany Hamzan, ia sebagai langkah pertama kepada pertambahan pendapatan oleh pihak kerajaan daripada kenaikan harga minyak mentah dunia.

Menurutnya, komitmen terhadap harga siling ini perlu ditanggung oleh kerajaan memandangkan pihak pemerintah telah meraih pendapatan luar jangka.

“Dalam keadaan ekonomi yang ada hari ini, harga minyak mentah dunia dilihat menunjukkan trend meningkat, dan harga jualan runcit minyak akan turut naik sama berdasarkan kaedah apungan terkawal.

“Tapi kita juga perlu faham bahawa pada masa yang sama, kenaikan harga minyak mentah ini turut menguntungkan pihak kerajaan. Bajet 2017 dirangka berdasarkan anggaran harga minyak mentah berada pada sekitar $45 setong, sedangkan harga minyak mentah dunia berada pada paras melebihi $50 setong sejak awal 2017 hingga sekarang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, pihaknya turut menggesa supaya kerajaan mengamalkan ketelusan dengan mendedahkan data-data penting yang digunakan dalam pengiraan harga jualan runcit bagi minyak RON95, RON97 dan diesel setiap minggu.

“Ketelusan ini juga diharap selain dapat mendidik rakyat tentang perkembangan semasa, boleh menambahkan akauntabiliti ke atas kerajaan untuk menguruskan harta negara dengan penuh berintegriti dan adil, tanpa didorong oleh agenda politik kepartian terutamanya pada masa sekarang ini.

"Kami ambil serius rentetan kenaikan harga petroleum selepas pelaksanaan penetapan harga jualan runcit secara mingguan. Biarpun kenaikannya tidak berapa kelihatan iaitu secara nilai yang sedikit tetapi ia tetap terbeban apabila saban minggu berlakunya peningkatan.

“Kenaikan harga minyak ini sangat memberi kesan langsung kepada kos barangan dan perkhidmatan yang mana ia menjadi pemula kepada rantaian kenaikan. Kenaikan harga bahan bakar itu ditambah lagi peningkatan harga barangan dan perkhidmatan ternyata memberi bebanan berganda kepada rakyat yang telah pun terhimpit dengan 'jerutan' cukai GST,” katanya lagi.

Mulai 29 Mac lalu, kerajaan mengumumkan pe­netapan harga petrol dan diesel secara mingguan pada setiap Rabu bermula pukul 12.01 ­te­ngah malam bagi menggantikan mekanisme peng­umuman secara bulanan seperti sebelum ini.

Dengan pelaksanaan harga si­ling mingguan itu sebarang perubahan harga Mean of Platts Singapore (MOPS) dan kadar tukaran asing dapat diterjemahkan lebih tepat mengikut perkiraan pasaran global.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • LABUAN - Tahun 2017 diwarnai dengan pelbagai cabaran bagi Labuan, yang merupakan hab minyak dan gas (O&G) Malaysia apabila industri yang menjadi enjin pertumbuhan utama pulau bebas cukai ini terus mengalami kelembapan.
  • SHAH ALAM - Sejak pelaksanaan mekanisme pengumuman harga minyak baharu secara mingguan, didapati nilai perubahan yang sebenar cuma RM0.01, demikian laporan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui perkongsian laman rasmi Facebooknya, hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Harga runcit mingguan bagi petrol RON95 menurun 1 sen, menjadi RM2.29 seliter dari RM2.30.
  • SHAH ALAM - Kerajaan perlu bersedia memulangkan subsidi minyak kepada rakyat bagi mengurangkan beban rakyat jika harga pasaran minyak dunia meningkat pada tahun 2018.
  • BAGAN DATUK - Kerajaan sedang mengkaji beberapa mekanisme yang sesuai dalam menangani isu kenaikan harga petrol dan diesel sehingga membebankan rakyat.