KUALA LUMPUR - Ibu bapa berperanan dan bertanggungjawab dalam memberi pendidikan anak masing-masing dengan mengajar mereka ilmu agama termasuk tauhid, al-Quran, hadis diikuti ilmu berbentuk keduniaan.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas,  Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, ketua keluarga juga perlu memainkan peranan utama dalam membimbing keluarga masing-masing agar memahami dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan.

“Lelaki sebagai ketua keluarga perlu bekerja keras, di samping menerapkan nilai-nilai murni dalam ahli keluarga,” katanya.

Menurutnya, program My Family #QuranHour, #Saving Families adalah untuk memperkasakan semula peranan ketua keluarga.

“Kita berharap dapat melahirkan keluarga yang berakhlak al-Quran dan sekeluarga itu dapat masuk syurga,” katanya.

Hussamuddin berkata, program ini adalah lanjutan daripada World #QuranHour.

“World #QuranHour hanya sejam setiap tahun, kita mahu amalan membaca, menghayati dan mengamalkan al-Quran ini dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini lebih 1,000 Rumah Ngaji telah wujud di beberapa lokasi termasuk di institut pengajian tinggi awam.

Program yang julung kali diadakan di Kampung Malaysia Tambahan. - Foto Sinar Harian oleh ASRIL ASWANDI

“Kita tidak pentingkan kuantiti tetapi kualiti, kita mahu Rumah Ngaji ini aktif serta dapat mengumpul lebih ramai masyarakat yang tidak pandai baca al-Quran untuk datang mengaji.

“Kami mahu orang yang pandai mengaji mengajar orang yang tidak pandai mengaji, jika mereka sudah pandai belajar untuk memahami dan mengamalkan al-Quran, ia adalah proses secara berterusan,” katanya.

Beliau berharap lebih banyak kampung lain mencontohi apa Kg Malaysia Tambahan telah buat pada masa kini.

“Jika setiap kampung buat program sebegini, dalam tempoh 10 tahun umat Islam akan berubah,” katanya selepas menghadiri program Kamata #QuranHour #Saving Families.

Dalam program itu penceramah bebas, PU Yusof Arbain turut mengupas Surah Luqman. Terdapat  sembilan rahsia Luqman dalam surah berkenaan mengenai teknik keibubapaan dalam mendidik anak.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff, Duta program tahunan World #QuranHour, Norman Hakim dan Ketua Urusetia Rumah Ngaji Kampung Malaysia Tambahan, Mahmud Buntat.

Sementara itu, Mahmud berkata, sambutan masyarakat terhadap program Rumah Ngaji di sini amat menggalakan.

“Pusat Komuniti Penduduk Kampung Malaysia Tambahan dijadikan sebagai lokasi Rumah Ngaji di kawasan ini, Kelas Rumah Ngaji diadakan secara terbuka pada setiap hari Ahad.

“Kelas Rumah Ngaji khusus untuk para pelajar pula diadakan pada setiap Selasa, manakala kelas Rumah Ngaji al-Quran bertajwid pula diadakan setiap pagi selepas solat subuh di Surau Jumaat Kampung Malaysia Tambahan,” katanya.

Menurutnya, tujuan Kamata #QuranHour diadakan di sini adalah bagi menggalakan semua golongan masyarakat melihat sendiri cara berinteraksi dengan al-Quran melalui konsep baca, faham, hayati, amal dan sebarkan bagi melahirkan akhlak mulia sebagai seorang Muslim sejati.

“Kita juga mahu mengimarahkan penubuhan Rumah Ngaji di persekitaran kawasan perumahan di Sungai Besi sepertimana yang dilakukan oleh Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Kampung Malaysia Tambahan.

“Kita menggalakan penumbuhan lebih banyak kelas Rumah Ngaji dii kawasan perumahan serta memberi ruang penduduk belajar mengaji,” katanya.