KUALA LUMPUR - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menawarkan diri untuk membantu kerajaan dalam kempen #PeduliYaman.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin berkata pihaknya bersedia berkongsi pengalaman tentang misi kemanusiaan dengan pelajar dan mahasiswa.

“PKPIM sedia  menawarkan diri dalam misi pencerahan di kampus dan sekolah khususnya mengenai krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Yaman.

“Ini sekaligus dapat membantu memperluas kempen #PeduliYaman di peringkat mahasiswa dan pelajar di seluruh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Global Peace Mission (GPM) Malaysia dengan kerjasama Sinar Harian dan Kumpulan Media Karangkraf melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan #PeduliYaman, Ahad lalu susulan krisis kemanusiaan yang tidak berkesudahan di negara Teluk itu sejak empat tahun lalu.

Krisis itu menyebabkan kira-kira 22 juta rakyat menjadi pelarian di negara sendiri dan mereka memerlukan bantuan terutama bekalan air bersih, makanan serta rawatan kesihatan.

[ ARTIKEL BERKAITAN : Tabung bantuan kemanusiaan #PeduliYaman dilancarkan ]

Menurut Ahmad Fahmi, aktivis PKPIM telah menyertai beberapa misi kemanusiaan di negara bergolak dan mereka boleh berkongsi pengalaman supaya rakyat negara ini lebih cakna dengan isu semasa.

“Dengan adanya aktivis-aktivis  PKPIM yang telah menyertai beberapa misi kemanusiaan di negara bergolak seperti di Syria, Selatan Thailand dan juga beberapa kawasan lain dapat dijadikan sebagai satu sesi perkongisan di peringkat kampus dan sekolah di seluruh Malaysia.

“PKPIM berpendapat usaha ini wajar direncanakan agar mahasiswa dapat turut berperan serta membantu dalam kempen #PeduliYaman supaya  mahasiswa bukan sahaja akan cakna dengan isu semasa bahkan dapat menjadi sebahagian daripada solusi kemanusiaan,” katanya

Rakyat Malaysia yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Global Peace Mission Bank Islam 1402 30100 29224 atau Maybank Ismalic (5642 2161 1602) atau Affin Islamic Bank (1051 9000 2871) atau melalui talian sumbangan atas talian GPM di https://www.billplz.com/peduliyaman.

Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi sekretariat GPM di talian 03-4144 3441 atau 011 373 12236.