SEREMBAN - Kempen MyFamily #QuranHour melalui program Neghori #QuranHour sempena Karnival Jom Boli 2017 mengajak masyarakat bersama ahli keluarga dekati al-Quran, seterusnya menghayati kitab suci itu.

Program berkenaan akan diadakan pada 25 September ini jam 10 pagi di Dataran Asnaf, Tingkat 4, Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Seremban, mendapat kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Wanita Perkim Seremban, Rumah Ngaji @ Negeri Sembilan dan dibarakan oleh Kumpulan Media Karangkraf.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, diharapkan dengan bertadabbur dan menghayati isi kandungan al-Quran akan meneguhkan pegangan agama umat Islam.

"Di peringkat awal, ayah sebagai ketua keluarga boleh ajak ahli keluarga baca al-Quran sekurang-kurangnya sejam sehari.

“Kita bukan sahaja ajak keluarga masuk syurga, malah seluruh masyarakat Islam. Jadilah contoh kepada mereka yang belum melihat Islam sebagai agama yang benar,” katanya.

Menurutnya, apabila masyarakat sudah serasi dan sebati dengan membaca al-Quran, akan timbul keinginan untuk mengetahui isi kandungan al-Quran tersebut.

Pada program itu juga, Penasihat Rumah Ngaji, Fazrul Ismail akan berkongsi ilmu dalam sesi 'Membangun Legasi Luqman' khususnya untuk ibu bapa selepas pelancaran MyFamily #QuranHour.

Dalam sesi tersebut, beliau mengupas isi kandungan Surah Luqman yang memfokuskan kemahiran keibubapaan.

Fazrul berkata, di dalam al-Quran banyak menekankan aspek kebapaan kerana bapalah insan yang memainkan peranan penting dalam pendidikan anak.

"Terdapat empat bahagian Surah Luqman iaitu peranan al-Quran dan pendidikan, nasihat kepada anak, peringatan kepada orang yang tidak percaya dan ancaman kepada mereka yang tidak mengamalkan pendidikan berasaskan al-Quran.

“Al-Quran sememangnya amat penting dalam konsep keibubapaan zaman sekarang. Jadikanlah ia sebagai pegangan untuk membentuk dan melahirkan anak-anak yang ihsan.

“Orang yang tiada pendidikan berasaskan al-Quran, tiada bersifat ihsan. Contohnya, kebakaran membabitkan sebuah pusat tahfiz di Kuala Lumpur pada 14 September lalu," katanya.

Justeru katanya, peranan ibu bapa amat penting agar dapat membimbing anak berjaya di dunia dan akhirat.

Sementara itu, orang ramai yang berminat menyertai Neghori #QuranHour digalakkan membawa al-Quran terjemahan masing-masing.

Pada program itu, mereka juga berpeluang mendengar perkongsian selebriti terkenal, Nabil Ahmad yang dilantik Ikon Rumah Ngaji Negeri Sembilan.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang tiga hari Karnival Jom Boli 2017,  antaranya pameran jualan, persembahan pentas, Fun Run #jomboli2017 dan pameran motosikal berkuasa tinggi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Tarikh 31 Ogos 2017 bersamaan 9 Zulhijjah 1438 Hijrah menjadi detik bermakna apabila bacaan ayat-ayat suci al-Quran berkumandang serentak di seluruh dunia selama satu jam menerusi program World #QuranHour, tahun kedua ia dianjurkan.
  • GOMBAK - Orang ramai mula memenuhi ruangan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Univerisiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi mengikuti penganjuran World #Quran Hour.
  • KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia berbilang kaum, pelajar serta rakyat luar negara mencipta sejarah apabila buat julung kalinya mereka berkumpul di Dataran Merdeka, hari ini.
  • SHAH ALAM - Bersempena dengan penganjuran World #QuranHour yang bakal berlangsung esok, sebahagian murid dan guru Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi turut mengambil bahagian bagi menyemarakkan semangat penganjuran program itu.