KUALA NERUS - Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersedia untuk mengisyiharkan harta sebelum pemilihan Umno yang dijadualkan pada 30 Jun ini.

Jelas bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, kesediaan untuk membuat pengisytiharan itu adalah bagi membuktikan beliau tidak terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah.

"Kita ikut, tidak ada masalah..tidak ada benda yang perlu disembunyikan,"katanya kepada pemberita ketika ditemui sebaik selesai menghadiri perjumpaan tertutup dengan barisan kepimpinan Umno Terengganu di salah sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman serta kepimpinan BN negeri yang lain.

Terdahulu Ahmad Zahid meluangkan masa bermesra dengan barisan kepimpinan dan ahli Umno di negeri itu sebelum meneruskan perjumpaan secara tertutup.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sedia untuk mengisytiharkan harta dan diperiksa apa yang dimiliki sebelum pemilihan Umno yang dijadualkan pada 30 Jun ini.

Memetik laporan Astro Awani, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali dengan Ku Li berkata, kesediaannya itu untuk membuktikan beliau tidak pernah melakukan salah guna kuasa dan rasuah serta untuk dibuat perbandingan oleh ahli parti.

Beliau juga menyarankan agar semua menteri dan wakil rakyat dalam Pakatan Harapan juga diperiksa pemilikan harta mereka untuk membuktikan mereka benar-benar bersih dan tidak terlibat dengan rasuah.

Tengku Razaleigh bakal bersaing dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta empat lagi calon untuk merebut jawatan presiden Umno.

Selain Tengku Razaleigh, Ahmad Zahid dan Khairy, empat lagi calon yang turut menyerahkan borang untuk bertanding jawatan presiden ialah penulis blog Rahmat Azim Abdul Aziz, Rosile Saat dari Umno Bangi, Mohamed Iqbal Maricair dari Umno Bandar Tun Razak, dan Mohd Yusof [email protected] dari Umno Iskandar Puteri.