PUTRAJAYA - [ DIKEMASKINI ] Selepas lebih lapan jam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, beliau dipanggil memberi keterangan berhubung Putera Arab Saudi yang didakwa mendermakan RM2.6 bilion kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, SPRM memerlukan maklumat lanjut daripadanya.

“Ia berhubung kenyataan yang saya buat mengenai pertemuan dengan wakil keluarga Raja Saudi. Jadi mereka perlukan details kerana maklumat itu cuma diperoleh daripada media,” katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, siasatan berhubung perkara tersebut telah diselesaikan.

“Saya kira ia selesai hari ini,” katanya kepada media di sini.

Ketika ditanya siapa yang memberi derma itu, Zahid berkata beliau tidak perlu menjawab soalan tersebut.

“Saya hanya memberi jawapan kepada SPRM,” katanya.

Pada 22 Ogos 2015, Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Sri Gading di Parit Raja, Batu Pahat, Johor mengesahkan secara peribadi beliau sudah bertemu wakil keluarga dari Asia Barat, yang menderma RM2.6 bilion kepada Najib.

Katanya dalam pertemuan itu, wakil keluarga terbabit menjelaskan Malaysia bukan satu-satunya negara yang menerima dana berkenaan, sebaliknya, keluarga berkenaan memaklumkan turut memberikan dana kepada negara lain.

Pada 7 Februari 2016, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendedahkan bahawa individu yang menderma RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak adalah seorang putera kepada Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti penderma tersebut.