KUALA LUMPUR - Proses penggubalan yang baik bermula di peringkat kementerian di mana pegawai khususnya penasihat undang-undang perlu memastikan draf undang-undang dikemukakan kepada Parlimen mampu menjaga kepentingan rakyat, kata Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Beliau berkata pegawai kementerian berkenaan perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang mencukupi supaya mereka dapat menghayati 'spirit of law' itu dalam mencadangkan penggubalan undang-undang tersebut.
"Sebelum draf undang-undang dihasilkan, pegawai kementerian perlu mengkaji sedalamnya keperluan undang-undang itu. Mereka perlu kaji tahap keberkesanan undang-undang itu kepada negara.
"Pegawai kementerian juga perlu meneliti persekitaran semasa. Kita mahu melihat hanya undang-undang yang baik diluluskan oleh Parlimen," katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Khas Penggubalan Undang-undang Negara di Parlimen di sini hari ini.
Abu Zahar berkata, pegawai kementerian juga perlu memastikan draf undang-undang yang dihasilkan berdasarkan acuan Malaysia sendiri berpandukan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Beliau berkata, ahli-ahli Parlimen dan pegawai kementerian perlu berani tampil ke depan sekiranya melihat sesuatu undang-undang itu tidak sesuai digunakan dalam persekitaran semasa di Malaysia.
"Pengetahuan tentang undang-undang ini sentiasa berkembang, tidak ada seorang pun yang mengetahui semua perkara kerana ia terus berkembang jadi kita mesti sentiasa belajar.
"Masalahnya tiada sesiapa yang mahu mengaku dia tak tahu," katanya.
Abu Zahar berkata, dalam memperkasa Parlimen di Malaysia, ahli Parlimen perlu menghayati proses penggubalan undang-undang khususnya ketika sesi debat undang-undang itu di Parlimen.
"Cara anggota Parlimen di Rusia, United Kingdom dan Jepun amat berhemah dan bijak ketika berdebat, mereka tidak menjerit bila mahu menyuarakan pendapat. Mereka tidak sesuka hati kata anda tidak layak menjadi speaker.
"Mereka amat menghormati dewan dan satu sama lain. Jadi bilakah Parlimen kita boleh mencapai tahap itu? Kita jadi contoh kepada negara lain dalam banyak bidang, jadi kita mesti jadi contoh dalam proses menggubal undang-undang," katanya. - Bernama
- Permit 21 rakyat Malaysia bantah PRU13 perlu diteruskan
- Adam Adli bebas dengan ikat jamin
- Adam Adli didakwa pagi ini
- Najib sampai ucapan pembukaan Persidangan Global Women Deliver 2013
- Harga 13 barangan dikawal sempena Pesta Kaamatan
- RON97 turun 20 sen mulai malam tadi
- Kunjungan Obama bukti Malaysia negara penting secara strategik
- Perhimpunan haram halang polis tumpu pencegahan jenayah
- Jangan terpengaruh e-mel guna nama isteri PM
- Turun harga kereta wujudkan persaingan sihat




