SHAH ALAM - Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menegaskan sekiranya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan semua ahli parlimen dan Adun akan menjadi kebal.

Ibrahim berkata, segala yang mereka (ahli parlimen dan Adun) ucapkan dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan menjadi kesalahan dan tidak boleh didakwa di mahkamah.

Menurutnya, kesemua ucapan berkenaan termasuklah sekiranya mereka mengecam Raja-raja Melayu, Islam dan perkara-perkara yang masih dalam perbicaraan di mahkamah.

“Oleh itu, saya menggesa kerajaan mewujudkan referendum rakyat atau pungutan suara sebelum membuat sebarang keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.

“Pihak kerajaan juga perlu memberi penjelasan mengenai mekanisme yang digunakan untuk memelihara agama, institusi Raja-raja Melayu serta hak istimewa orang Melayu sekiranya akta itu dimansuhkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiada garis masa untuk mansuh Akta Hasutan]

Pada 8 Oktober lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kerajaan tidak akan menetapkan sebarang garis masa untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Menurutnya, pemansuhan akta itu akan mengambil masa kerana ia memerlukan kelulusan Parlimen.