KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menasihatkan ahli Parlimen menggalas tugas dan titipan amanah yang diberikan dengan jujur dan penuh dedikasi.

Baginda percaya wakil-wakil rakyat yang akan mengambil bahagian dalam perbahasan dengan sihat, matang, dapat merangsang dinamik berfikir.

Titahnya, mereka bukannya untuk mencari pihak yang benar tetapi untuk menemukan apa yang baik lagi benar, memberi cadangan, teguran dengan penuh berhemah dan bijaksana, penuh kesopanan bertatatusila supaya institusi Parlimen terus dihormati, dipandang tinggi oleh rakyat dan dunia luar.

“Tahniah kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang telah dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka di dalam Dewan Rakyat ini.

“Pemilihan tersebut adalah satu tanggungjawab yang besar,” titahnya ketika merasmikan istiadat Mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, baginda turut bertitah, terdapat anggapan bahawa kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang wujud di negara ini adalah percikan bunga api yang membakar hangus kedamaian, kestabilan dan kerukunan hidup.

Namun, Sultan Muhammad V bersyukur anggapan tersebut meleset sama sekali kerana rakyat telah membuktikan sebaliknya.

“Beta menyeru agar perpaduan dan keadaan harmoni di kalangan rakyat negara ini terus dipelihara dan diperkukuhkan.

“Elemen-elemen negatif dan tindak-tanduk yang mengganggu-gugat kesepaduan dan keharmonian perlu dibanteras. Hentikan ungkit terhadap isu-isu sensitif antara kaum,” titahnya.

Sultan Muhammad V menambah, cabaran-cabaran seperti ketidaktentuan ekonomi global, konflik politik, krisis kemanusiaan di peringkat antarabangsa dan ancaman fahaman radikal akan terus mempengaruhi geopolitik dan ekonomi dunia.

“Dalam hal ini, Beta berharap kerajaan akan terus berusaha mencari jalan untuk mendepani cabaran-cabaran tersebut bagi kebaikan, kesejahteraan rakyat dan negara, titah baginda.

Baginda juga menyambut baik cadangan mewujudkan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat agar program-program yang lebih berkesan bagi mempromosi perpaduan dapat diperbanyakkan.