MARAN - Hanya syarikat dan agensi pelancongan yang mempunyai lesen khas di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dibenarkan untuk mengendalikan pakej umrah di negara ini.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ejen-ejen yang memiliki lesen khas telah mendapat latihan dan mahir dalam pakej umrah dengan pihak kementerian sebelum dibenarkan menerima pendaftaran orang ramai.

"Pendekatan yang lebih ketat ini dilakukan bagi mengelakkan ramai daripada mereka yang berminat untuk menunaikan umrah ditipu oleh ejen-ejen palsu dan tidak berdaftar.

"Kementerian memandang serius masalah ini kerana banyak pihak yang cuba mengambil kesempatan  dan ia membabitkan masalah kewangan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Puteri UMNO Kuala Krau di Dewan Semai Bakti, Felda Jengka 23 hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Timbalan Ketuanya Datuk  Syed Ibrahim Syed Ahmad, Naib Ketua Datuk Wan Salman Wan Ismail dan Ketua Puteri Nur Afzan Abu Kasim.

Beliau berkata pihak kementerian menjangkakan seramai kira-kira 350,000 individu menunaikan umrah  pada tahun ini yang mampu menjana pendapatan lebih RM1 bilion.

Kerajaan baru-baru ini telah membatalkan lesen 11 buah syarikat dan menarik balik lesen sebuah syarikat kerana didapati melanggar Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482)  atas kesalahan yang melibatkan elemen penipuan sejak 2009 sehingga tahun ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang hendak menunaikan ibadah umrah supaya meneliti syarikat yang menawarkan pakej umrah bagi mengelakkan mereka teraniaya dan ditipu. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Pemilikan 100 peratus oleh warga negara yang beragama Islam, adalah di antara syarat dikenakan terhadap agensi pelancongan sebelum layak memperoleh Lesen Khas Umrah, yang dikuatkuasakan bagi pengendalian pakej umrah ziarah mulai bulan ini.
  • KUALA LUMPUR - Kira-kira 230,000 rakyat Malaysia telah menunaikan ibadah umrah sejak November 2016 hingga Jun lepas dengan nilai transaksi jualan pakej umrah dan ziarah dianggarkan melebihi RM1 bilion.
  • KUALA LUMPUR - Berkuat kuasa 1 Oktober depan, hanya agensi pelancongan yang mempunyai ‘Lesen Khas Umrah’ dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dibenarkan mengendalikan pakej umrah.
  • KUALA LUMPUR - Sebanyak 14 syarikat pelancongan dan pengendali umrah serta ziarah dibatalkan lesen kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) sejak 2009 hingga setakat ini tahun ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.