KUALA LUMPUR – Bahagian Integriti dan Tadbir Urus di bawah Jabatan Perdana Menteri telah dinaik taraf sebagai jabatan penuh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low.

Menyatakan Kabinet telah memberi kelulusan bagi penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) sebulan lepas, beliau berkata agensi itu akan berperanan sebagai badan penyelaras untuk menerajui perubahan transformasi dalam sektor awam serta swasta menumpukan pada tadbir urus baik, integriti dan hak asasi manusia.

“Sebagai sebuah jabatan, ia akan mempunyai bajet dan staf sendiri untuk menyokong perubahan transformasi yang perlu dilakukan untuk memenuhi objektif yang dicadangkan di bawah Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya pada dialog TN50 di Institut Integriti Malaysia di sini, hari ini.

Paul berkata JITN akan mempunyai jaringan dengan agensi seperti Biro Pengaduan Awam, Institut Integriti Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.

Beliau berkata jabatan baharu itu akan bekerjasama dengan ketua setiausaha semua kementerian dalam usaha melakukan penambahbaikan dalam budaya kerja perkhidmatan awam negara ini.

Paul berkata JITN juga akan mengkaji cara untuk menangani kelemahan dalam perkhidmatan awam seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara. -Bernama