SHAH ALAM - Peruntukan sebanyak RM 1.2 bilion kepada pembangunan Islam dalam belanjawan 2019, seharusnya merangsang semua  pendokong Islam di negara ini untuk bekerja keras, bagi menjayakan agenda Islam dalam kerangka Malaysia baharu.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dengan adanya peningkatan dalam peruntukan 2019 kepada bahagian hal ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri , menjadi suatu amanah besar kepada petugas agensi-agensi yang berkaitan untuk memastikan peruntukan untuk diguna dengan telus, mengikut prosedur yang ditetapkan dan memberi impak yang diharapkan.

Katanya, harus dielak sebarang salah urus peruntukan tersebut untuk dibelanja oleh agensi-agensi Islam.

"Peruntukan ini adalah amanah besar umat Islam supaya tidak disalahguna atau disalurkan kepada hal-hal yang tidak memberi impak besar kepada masyarakat Islam.

"Sebarang salahguna perbelanjaan oleh agensi Islam akan menjadi satu tamparan yang akan merosakkan imej Islam itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, dalam  melaksanakan pembangunan Islam melalui dana yang besar tidak boleh dijayakan jika para pelaksana dan penanggungjawab dikalangan petugas agensi Islam tidak amanah dalam menyempurnakan tugas.

"Kami mengharapkan peruntukan ini benar-benar dijadikan peruntukan yang diguna untuk menumpu kepada pembinaan kualiti insan dan masyarakat Islam secara praktis," katanya.