Sambutan Hari Kemerdekaan & Hari Malaysia
Sambutan Hari Kemerdekaan & Hari Malaysia
Afiszul Odin: ‘Saya  bangga digelar anak Merdeka’
Mohd Afiszul berbangga dengan keamanan yang dimiliki Malaysia

SETIAP kali tarikh 31 Ogos menjelma, seperti orang lain Mohd Afiszul Odin semakin berusia. Tetapi bukan semangatnya.

Pemuda yang dilahirkan di Bota Kanan, Perak, 26 tahun dahulu, ketika ditanya mengenai perasaannya menjadi salah seorang anak merdeka berkata, “saya rasa berbangga kerana lahir pada sama tarikh dengan ‘birthday’ negara kita.”

“Selain itu, perasaan teruja itu timbul apabila melihat seluruh rakyat Malaysia meraikan hari bersejarah dan seakan-akan mereka turut menyambut hari lahir saya,” seloroh Mohd Afiszul, seorang kakitangan kerajaan.

Bercakap mengenai erti kemerdekaan, Mohd Afiszul menjelaskan bahawa ia merupakan satu kebebasan dalam kehidupan, tiada kongkongan dan mempunyai minda bebas daripada dijajah oleh orang luar. 

“Bebas di sini bukanlah bermaksud kita boleh melakukan semua perkara sewenang-wenangnya sebaliknya kita bebas untuk melakukan apa saja aktiviti dalam kehidupan seharian tanpa melanggar mana-mana batas undang-undang agama dan negara kita,” katanya.

Mengakui tarikh 31 Ogos mudah diingati ramai, pemuda ini turut menyifatkan dirinya sebagai bertuah apabila berpeluang melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Agama Maahad Al-Ehya Al Shariff, Gunung Semanggol, Perak yang diasaskan pejuang kemerdekaan, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Melalui itu, sedikit sebanyak semangat cintakan negara turut mengalir dalam peribadinya lantas menjadikannya sentiasa bersyukur dengan keharmonian dan keamanan negara yang diperolehi sekarang.

“Jika kita perhatikan, kebanyakan negara-negara jiran kita sering dilanda dengan pergolakan ekonomi, politik dan kaum tetapi di sini semua benda itu tidak kelihatan kerana semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum kini sentiasa bersatu-padu serta semangat cintakan keamanan negara sentiasa tersemat dan membara dalam jiwa masing-masing,” katanya.

Pun begitu, Mohd Afiszul yang kini menetap di Gombak berkata, dia kesalkerana segelintir rakyat Malaysia yang masih lagi belum ‘merdeka’ dari segi pemikiran.

Sebagai contoh, gejala penagihan dadah yang rata-ratanya dialami belia negara ini.

“Walau pun kini kita jarang mendengar mengenai perkara ini, tetapi saya percaya masih ada lagi kes penagihan dadah yang berlaku di kalangan anak muda masa kini.

“Saya hanya berharap mereka berubah untuk menjadi seorang rakyat Malaysia yang berguna untuk agama, bangsa dan negara pada suatu hari nanti,” kata anak ke enam daripada tujuh beradik.  

Ditanya mengenai bagaimana dia menyambut hari kemerdekaan pada setiap tahun, Mohd Asfizul menjelaskan dia bakal merayakan sambutan perayaan kemerdekaan kali ke 55 di Stadium Bukit Jalil bersama rakan sekerjanya.

“Seperti tahun sebelumnya, kali ini saya akan menyambut di Bukit Jalil dengan melihat kemeriahan sambutan yang bertemakan Janji Ditepati pada tahun ini dan pastinya kenangan ini akan tersemat di jiwa saya buat selama-lamanya dan sememangnya saya sangat berbangga menjadi salah seorang daripada anak merdeka di negara bertuah ini,” katanya yang turut menjadi ahli Persatuan Anak Merdeka sejak 2008.

Pemuda yang berwawasan tinggi ini juga sempat menitipkan pesanan buat semua rakyat Malaysia agar sentiasa memperbaiki diri dan merebut semua peluang yang ada untuk memajukan diri serta sentiasa menyumbang sesuatu yang berguna dan berfaedah untuk negara.