KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) tampil membuat laporan polis berhubung dua kenderaan syarikat swasta yang didakwa menggunakan warna dan logo Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memasang kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di beberapa lokasi.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, dua kenderaan terbabit dikenal pasti awal bulan ini ketika sedang memasang kamera di Teluk Intan, Perak dan Gombak.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati dua kenderaan tersebut dimiliki dua syarikat swasta yang beroperasi di Petaling Jaya.

“Sepatutnya, syarikat swasta itu menggunakan kenderaan yang mempunyai lambang syarikat mereka dan bukannya kenderaan lambang dan warna JPJ.

“Ini menunjukkan keraguan dalam pengendalian sistem ini dan kita mahu polis menjalankan siasatan terperinci kerana telah menyalahi undang-undang,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, semalam.

Turut  hadir, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar dan peguam, Zulhazmi Shariff.

Mahfuz berkata, adalah menjadi kesalahan sekiranya seseorang menyamar sebagai penjawat awam dengan niat menipu.

Naib Presiden Pas itu berkata, sistem tersebut adalah operasi penguatkuasaan dan tidak boleh diswastakan kepada syarikat lain.

Menurutnya, setakat ini kira-kira 200 penerima saman tampil bagi mendapatkan pembelaan melalui peguam yang disediakan Pas dan PR jika mereka dibawa ke mahkamah.

“Hari ini kita membuka kaunter khas di pejabat Pas di Jalan Raja Laut dari jam 12 tengah hari hingga 2 petang sebagai hari untuk bertemu mereka yang dikenakan saman ekor ini bagi membantu dan diberikan perkhidmatan peguam percuma.

“Kita juga akan menyokong perbicaraan pertama melibatkan saman ekor ini pada 7 Disember nanti di Mahkamah Majistret Jalan Duta,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.