SHAH ALAM - Kehadiran genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani, 19, dalam program debat Sinar Harian berjudul ‘Apa Pilihan Anak Muda: BN atau Pakatan Harapan?’, petang tadi, mencuri tumpuan hadirin.

Adi Putra yang pernah menggemparkan negara dengan kepintaran luar biasa dalam subjek Matematik turut bertanyakan soalan kepada salah seorang pendebat iaitu Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam soalannya, remaja itu ingin tahu apa perancangan Pakatan Harapan (Harapan) untuk menambah baik sistem pendidikan negara.

“Adi seorang tenaga pengajar dan mendengar sendiri luahan ibu bapa, guru dan pelajar. Dalam tempoh lima tahun ini, beberapa kali sistem pendidikan telah bertukar.

“Pertukaran ini memberikan kesan besar kepada pelajar. Jadi Adi ingin tanya kepada abang Syed Saddiq, apa perancangan Harapan untuk pelajar sekolah yang boleh ditambah baik?,” katanya.

Menjawab soalan tersebut, Syed Saddiq berkata, Harapan akan memastikan sistem pendidikan negara diasingkan daripada parti politik atau ahli politik.

“Maknanya tiada lagi pelajar sekolah di Putrajaya dipaksa kibarkan bendera Umno. Kita juga pastikan mereka yang gagaskan sistem pendidikan betul-betul pakar dan kita pertahankan.

“Sekarang ini kita lihat, kalau ada pertukaran menteri mesti ada pertukaran sistem pendidikan. Ini kerana bila ada pertukaran maka lebih senang menteri itu untuk buat kontrak baru,” dakwanya.

Selain Syed Saddiq, debat itu turut menampilkan Exco Pemuda Umno, Rahman Hussin.