Adam jumpa pakar bedah hari ini
Adam ketika berjumpa Perdana Menteri, 7 Jun lalu.

BALTIMORE, AMERIKA SYARIKAT - Adik Adam Akbar Ali akan bertemu dengan Pakar Neuro, Dr George Jallo, di Hospital Johns Hopkins, Baltimore buat kali pertama, hari ini selepas hampir setahun mereka berhubungan melalui
emel.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, pertemuan itu akan membincangkan persediaan dan perancangan pembedahan Adam yang dijadualkan pada 21 Jun ini.

Menurutnya, Adam agak ceria untuk bertemu dengan Dr Jallo kerana selama ini segala maklumat perubatan Adam hanya dibuat melalui emel.

“Adam akan menjalani pemeriksaan sahaja esok (hari ini) dan Dr Jallo akan memberitahu bila Adam akan dimasukkan ke wad.

“Kami dapat melihat Adam kelihatan ceria untuk berjumpa Dr Jallo. Insya Allah impiannya untuk membuang tumor tersebut akan tercapai,” katanya kepada Sinar Harian menerusi emel, semalam.

Akbar bersyukur kerana kesihatan Adam baik walaupun cuaca di sana adalah musim panas. 

“Alhamdulillah, Adam dapat sesuaikan diri dengan keadaan di sini. Kadang-kadang Adam diserang sakit pada kaki, tangan dan tengkuk tetapi tidak sekerap sebelum ini.

Ia diredakan dengan ubat tahan sakit,” katanya. Adam, 10, menghidap tumor saraf tunjang  sejak empat tahun lalu dan pembedahan yang akan dilakukan adalah kali ketiga selepas beliau menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Kuala Lumpur dan Singapura.